SUKIPT 2022: Queenie terlepas RM20,000

SUKIPT 2022: Queenie terlepas RM20,000

Queenie ketika beraksi dalam acara lempar cakera di temasya SUKIPT 2022

HASRAT atlet lempar cakera kebangsaan, Queenie Ting Kung Ni untuk pecah rekod kebangsaan miliknya tidak kesampaian apabila hanya dibezakan 1.04m ketika bersaing di temasya Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2022 kelmarin.

Atlet berusia 24 tahun itu sebelum ini berazam membawa pulang RM20,000 seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sekiranya berjaya memecahkan rekod kebangsaan SUKIPT 2022.

Queenie Ting hanya mampu melakukan lemparan sejauh 51.32 meter (m) di Stadium Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan kecewa tidak dapat pecah rekod 52.36m ketika dilakukannya di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi, Vietnam.

Bagaimanapun atlet dari Sarawak tersebut berbangga dengan pecapaiannya kerana ini kali pertama dia melakukan lemparan sejauh 51m ke atas di Malaysia.

“Saya tak pernah rasa gugup bila menyertai pertandingan di Malaysia kerana saya tahu mampu melakukannya. Tetapi di SUKIPT 2022 aura sedikit berlainan terutama cabaran RM20,000 tersebut.

“Sebenarnya saya rasa bermotivasi dan sedikit gugup kerana saya ada sasaran besar. Saya bersyukur kerana Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memberi peluang seperti ini dan bagi semua atlet lebih motivasi.

“Saya gembira dengan prestasi saya kerana di pertandingan tempatan saya tak pernah kekal konsisten melakukan lemparan lebih dari 51m ke atas,” katanya.

Dalam pada itu, Queenie mengakui bahawa jadual padat bukan satu faktor dia gagal pecah rekod kebangsaan.

“Jika diikutkan SUKIPT 2022 adalah prestasi terbaik saya jika dibandingkan pingat emas yang saya raih sewaktu Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2022 di Ubon Ratchathani dan di Turki baru-baru ini.

“Ini pengalaman baharu saya sertai tiga temasya berturut-turut dalam satu bulan dan saya berjaya kawal prestasi dengan cukup baik. Mungkin kalau saya perbaiki teknik lemparan boleh pecah rekod kebangsaan di sini, katanya.