SUKIPT 2022: UPM gah kuasai ragbi 7s

SUKIPT 2022: UPM gah kuasai ragbi 7s

Antara aksi pasukan ragbi 7s lelaki UPM ketika menentang IIUM pada perlawanan akhir.

SEMBILAN pemain kebangsaan yang dimiliki pasukan Universiti Putra Malaysia (UPM) nyata memberi kelebihan buat mereka apabila dinobatkan sebagai juara acara ragbi tujuh sebelah (7s) temasya Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT 2022).

Pada perlawanan akhir yang berlangsung Padang Istiadat Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), UPM kendalian Mohamad Nazeer Nesharah tidak berdepan masalah untuk menewaskan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM) 42-0.

Bagi Mohamad Nazeer, beliau menyifatkan kemenangan itu cukup manis apabila berjaya membalas dendam pada edisi 2018 apabila tewas tipis kepada IIUM pada perlawanan akhir.

“Alhamdulillah saya berpuas hati dengan persembahan yang ditampilkan para pemain. Mereka bermain dengan sangat baik tanpa memberi peluang kepada lawan untuk membuat percubaan.

“Kemenangan ini juga bagi saya cukup manis kerana kita berjaya membalas dendam apabila kalah pada edisi lalu. Akhirnya kita berjaya bawa balik pingat emas ragbi ini kembali ke bumi Serdang,” katanya kepada media sejurus selepas perlawanan.

Selain meraih emas bagi kategori lelaki, UPM turut mengungguli bagi kategori perempuan selepas menewaskan pasukan Politeknik pada perlawanan akhir.

Pada aksi tersebut, meskipun pada awalnya UPM dilihat agak ketinggalan, namun semangat juang yang tidak kenal erti mengalah menyaksikan anak buah Faat Hor Rozi bangkit untuk memenangi perlawanan dengan keputusan 13-10.

“Kredit perlu diberikan kepada pasukan saya. Walaupun satu ketika mereka ketinggalan agak jauh, tapi mereka tetap berusaha untuk bangkit.

“Akhirnya mereka bukan sahaja berjaya menyamakan kedudukan tetapi berjaya memenangi perlawanan ini. Satu persembahan yang perlu diberi pujian,” ujarnya.