Sukma 2024: 32 sukan dipertandingkan

sukanteam@nstp.com.my

Kuching: Empat sukan tambahan iaitu tinju, muay thai, petanque dan e-sukan akan dipertandingkan pada Sukan Malaysia 2024 (Sukma 2024) yang akan berlangsung di Sarawak, tahun depan.

Temasya sukan dwi tahunan terbesar negara itu juga akan menyaksikan 28 sukan wajib dipertandingkan.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Sukan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, empat sukan tambahan itu disenaraikan selepas Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerima permohonan Sarawak selaku penganjur temasya berkenaan.

“Sebagai penganjur, Sarawak berhak memohon untuk menyenarai acara tambahan. Mesyuarat di Kuala Lumpur baru-baru ini bersetuju untuk membenarkan Sarawak menambah empat sukan tambahan itu selain 28 sukan wajib,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas penyampaian hadiah Kejohanan Tenis Piala Premier Sarawak ke-38 di Pusat Persatuan Tenis Sarawak di Jalan Crookshank, di sini, hari ini.

Antara 28 sukan wajib yang akan dipertandingkan ialah akuatik, angkat berat, badminton, berbasikal, gimnastik, golf, lawan pedang, memanah, menembak, olahraga, pelayaran dan hoki.

Dengan pemilihan untuk menganjurkan Sukma 2024 bermakna Sarawak menjadi tuan rumah temasya itu buat kali ketiga. Sebelum ini, Sarawak pernah menjadi tuan rumah pada 1990 dan kali kedua pada 2016.

© New Straits Times Press (M) Bhd