Sultan Selangor tegaskan rasuah, fitnah mampu hancurkan negara

Sultan Selangor

Kuala Lumpur: Sultan Selangor mengulangi kebimbangan peningkatan gejala rasuah dan penyebaran berita palsu berunsur fitnah dalam kalangan rakyat, ahli politik dan penjawat awam.
Tegas baginda, rasuah dan fitnah yang semakin berleluasa ketika ini adalah musuh utama yang menular dalam masyarakat dan dikhuatiri mampu menghancurkan negara ini.
Baginda juga terkejut apabila membaca pendedahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) separuh daripada kes-kes rasuah yang berlaku di negara ini melibatkan penjawat awam.
Oleh itu, baginda menyeru SPRM supaya terus menjalankan tugas dengan bersungguh-sungguh bagi menghapuskan kegiatan rasuah.

Malah baginda berharap pelaku-pelaku rasuah ini dibanteras dengan segera bersandarkan bukti-bukti kukuh dan diadili di mahkamah dengan pantas dan telus supaya menjadi tauladan kepada masyarakat.

Sultan Sharafuddin Idris Shah juga mengingatkan orang Melayu bahawa rasuah dan fitnah adalah perbuatan yang dilarang dan berdosa di sisi agama Islam.

Baginda berpandangan rasuah dan fitnah ini juga telah menjadi punca kepada perpecahan dalam situasi politik negara dan seterusnya telah mencemar reputasi urus tadbir negara di peringkat antarabangsa. Ini terbukti melalui kejatuhan signifikan dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Malaysia tahun lalu.

Oleh itu, baginda menasihatkan setiap rakyat agar memainkan peranan untuk menghentikan perbuatan tidak bermoral yang boleh memusnahkan peradaban bangsa untuk tempoh yang panjang.
Keadaan ini diburukkan lagi dengan penyebaran berita-berita palsu berunsur fitnah yang kian berleluasa di media-media sosial.

Baginda tidak mahu kepincangan dan perpecahan yang berlaku di arena politik merebak sehingga memecah-belahkan rakyat.
Untuk itu, baginda menyeru agar rakyat berbilang kaum terus bersatu padu dan bijak menepis anasir-anasir tidak baik khususnya rasuah dan fitnah, demi kesejahteraan negara serta generasi akan datang.

Ini kerana, baginda percaya sekiranya rakyat bersatu, berkhidmat dan berbakti untuk negara yang disayangi ini serta melakukan kerja dengan bersungguh-sungguh, negara akan terus maju. – M.Gazette

Malay News
National Desk