'Supergirl' gagal ujian hidrasi, aksi kemunculan semula dibatalkan

'Supergirl' gagal ujian hidrasi, aksi kemunculan semula dibatalkan

Bangkok: Aksi kemunculan semula yang dinanti-nantikan oleh peminat seni bela diri campuran (MMA), ‘Supergirl’ Anna Jaroonsak terpaksa dibatalkan selepas atlet Muay Thai sensasi Thailand itu gagal melepasi ujian hidrasi pada sesi timbang berat ONE Fight Night 34.

Pertarungan kelas atom antara Supergirl dan pencabar dari Bulgaria, Teodora Kirilova, disahkan dibatalkan sepenuhnya selepas lawannya enggan menerima pertarungan catchweight.

Situasi mengejutkan itu menyaksikan hanya lapan pertarungan berlangsung dalam acara di Bangkok, esok, sekali gus menjejaskan momentum penganjuran ONE Championship yang saban minggu mendapat liputan meluas.

Supergirl, 21, bagaimanapun menjelaskan dia dua kali berjaya membuat berat mengikut kontrak dalam tempoh beberapa jam, namun gagal menghasilkan sampel air kencing yang mencukupi dan terhidrat dalam tempoh tiga jam ditetapkan.

“Saya mohon maaf kepada lawan saya, penganjur, Chatri Sityodtong dan semua peminat. Saya tahu ramai yang menantikan pertarungan ini,” tulis Supergirl di media sosialnya.

Menurutnya, percubaan ketiga untuk ujian hidrasi dibatalkan kerana hanya menghasilkan kurang daripada 10 mililiter urin, sekali gus tidak menepati piawaian ONE Championship.

“Saya guna pelan penurunan berat badan yang sama seperti sebelum ini, semuanya terkawal. Tapi kali ini hasilnya berbeza,” katanya yang turut mengakui telah berlatih keras selepas berehat panjang sejak tewas pada November 2023 kepada Cristina Morales.

Dalam kekalahan sebelum ini, Supergirl mendakwa dia beraksi dalam keadaan tidak sihat dan lesu. Sejak itu, dia dilapor memberi tumpuan kepada kerjaya filem dan peragaan, sebelum kembali ke gelanggang.

“Walaupun lama berehat, saya kembali berlatih secara serius. Saya benar-benar buat segalanya untuk realisasikan pertarungan ini, termasuk berunding terus dengan pasukan lawan,” katanya.

Sementara itu, dua lagi pertarungan yang sebelum ini berada dalam situasi tidak pasti membabitkan Shamil Adukhov dan Elbek Alyshov disahkan akan diteruskan selepas lawan masing-masing bersetuju bertarung pada catchweight.

Dalam kategori Muay Thai pembuka tirai, Ellis Barboza menerima untuk bertarung dengan Adukhov di luar berat strawweight asal, manakala Jeremy Pacatiw pula setuju menentang Alyshov dalam pertarungan bantamweight yang disesuaikan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top