Surat Presiden PAS sahkan jawatan Pengerusi PN kekal, tak dimansuh

Surat Presiden PAS sahkan jawatan Pengerusi PN kekal, tak dimansuh

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang hari ini mengesahkan jawatan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) kekal dan tidak dimansuhkan.

Beliau didakwa menyatakan perkara itu dalam sepucuk surat yang ditujukan kepada tiga presiden parti gabungan PN, termasuklah Presiden BERSATU Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Surat yang dilihat wartawan dan ditandatangani oleh Abdul Hadi sendiri, mengatakan jawatan Pengerusi PN adalah tadbir seperti mana yang diperuntukkan dalam Fasal 8.3(l) Perlembagaan PN.

Abdul Hadi menegaskan, pemansuhan jawatan Pengerusi PN dan hal pelantikan Pengerusi PN, seperti yang dinyatakan Muhyiddin tidak pernah dibincangkan dan dipersetujui oleh PAS termasuk dalam pertemuan pada 16 Januari lalu.

“Saya mengambil maklum akan isi kandungan surat Muhyiddin, Presiden BERSATU bertarikh 27 Januari 2026 yang ditujukan kepada semua Presiden Parti-Parti Anggota PN, dan PAS menyambut baik komitmen semua Parti-Parti Anggota untuk memperkukuhkan lagi kesepakatan sesama kita dalam PN.

“Berhubung cadangan untuk pindaan Perlembagaan PN berkaitan penstrukturan PN khususnya mengenai Majlis Presiden, sukacita PAS mengulangi saranan kami sebelum ini iaitu, Majlis Presiden hendaklah bertindak sebagai ‘Badan Penasihat’ dan ‘Pengawal Selia’ dalam memelihara dasar-dasar dan hala tuju PN.

“Ia selaras dengan Fasal 7A Perlembagaan PN (rujuk surat saya bertarikh 14 Disember 2024 kepada Pengerusi PN) dan PAS bersetuju bidang kuasa Majlis Presiden bolehlah diteliti semula dengan mengusulkan pindaan-pindaan berkaitan dalam Perlembagaan PN, yang akan disyorkan oleh sebuah jawatankuasa teknikal bersama.

“Kenyataan Muhyiddin Mohd Yassin (jawatan Pengerusi PN dimansuhkan), saya ingin menegaskan, isu ini sama sekali tidak pernah dibincangkan dan dipersetujui oleh pihak kami termasuk dalam pertemuan pada 16 Januari 2026,” katanya.

Selain itu, Abdul Hadi berkata, pandangan dan pendirian PAS mengenai Majlis Presiden adalah, ia hendaklah bertindak sebagai ‘Badan Penasihat’ dan ‘Pengawal Selia’ dalam memelihara dasar-dasar dan hala tuju PN.

“Ia selaras dengan Fasal 7A Perlembagaan PN. Majlis Tertinggi PN hendaklah juga menjadi Majlis Eksekutif PN yang bertindak sebagai ‘Badan Pelaksana’ dalam segala urusan pentadbiran dan strategi parti, selaras dengan Fasal 8 Perlembagaan PN,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top