Suria FM tak profesional, dakwa Shahrol

Suria FM tak profesional, dakwa Shahrol

KUALA LUMPUR – Pelawak, Shahrol Shiro mendakwa stesen radio Suria FM bersikap tidak profesional selepas penyampainya memilih untuk berhenti atau tidak disambung kontrak.

Beliau yang juga bekas penyampai Suria FM berkata, kenyataan memburukkan bekas penyampai membawa impak besar termasuk dirinya yang pernah terpalit dengan isu bersama stesen radio itu sebelum ini.

“Dulu saya, sekarang sahabat lama saya Fizi Ali pula. Selepas isu yang terjadi antara kita suatu masa dulu, saya ingat stesen radio kamu akan lebih profesional dan menghargai penyampai yang pernah bertugas menabur bakti di sana, rupanya masih sama.

“Datang dan pergi penyampai di sesebuah stesen radio itu lumrah, sama seperti pasukan bola sepak tetapi saya melihat apabila penyampai di stesen lain mengambil keputusan keluar atau dikeluarkan, pihak pengurusan stesen radio tidak pula mengeluarkan kenyataan negatif penyampai itu.

“Johan meninggalkan Era FM tetapi stesen radio terbabit tidak mengeluarkan kenyataan yang berbaur negatif dan kita semua di luar ini tidak tahu pun punca beliau keluar. Ini contoh sikap profesional yang patut dicontohi.

“Kenyataan memburukkan bekas penyampai kamu nampak ringan tetapi impaknya besar. Sehingga ke hari ini pun masih ada komen yang mengatakan masalah disiplin saya padahal saya sudah menerangkan kejadian sebenar,” tulisnya dalam satu hantaran terbaharu di Instagram miliknya hari ini.

Shahrol turut berharap Suria FM akan lebih bersikap profesional dan belajar menghargai mana-mana penyampai yang pernah berjasa dengan syarikat terbabit.

“Pada Suria FM, tolong profesional dan belajar menghargai mereka yang pernah berjasa di syarikat kamu.

“Pada sahabat saya, Fizi Ali bersabarlah dengan dugaan dan membuat keputusan yang tepat pergi ke stesen Hot FM yang menduduki kedudukan lebih atas dari stesen radio lama kamu,” katanya.

“Kenyataan memburukkan bekas penyampai kamu nampak ringan tetapi impaknya besar. Sehingga ke hari ini pun masih ada komen yang mengatakan masalah disiplin saya padahal saya sudah menerangkan kejadian sebenar,” tulisnya dalam satu hantaran terbaharu di Instagram miliknya hari ini.

Semalam, media melaporkan Pengurus Besar Suria FM, DJ Lin meluahkan rasa kecewa apabila stesen radio itu terpaksa menanggung kerugian lebih RM50,000 selepas bekas penyampainya, Fizi Ali mengambil keputusan untuk meninggalkan stesen radio itu pada saat akhir.

DJ Lin berkata, Fizi sepatutnya memaklumkan perkara itu lebih awal supaya segala persiapan menuju program Jelajah 90 Suria Memang Cantik Kak Ell yang bakal diadakan di empat lokasi bermula 6 Ogos ini tidak berlaku pembaziran wang ringgit serta menyusahkan masa orang lain. – MalaysiaGazette