Sweet Qismina nafi buat pembedahan bariatrik

Sweet Qismina nafi buat pembedahan bariatrik

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Saya dapatkan nasihat pakar nutrisi dari hospital jadi tiada istilah potong usus untuk cepat kurus,” kata pelakon Sweet Qismina, 27, ketika diminta mengulas dakwaan dirinya menjalani pembedahan bariatrik atau potong usus untuk menurunkan berat badannya dalam tempoh singkat.

Sweet atau nama sebenarnya, Farhanna Qismina Supandi berkata, dia mendapatkan nasihat pakar nutrisi dan mengamalkan ‘liquid diet’ untuk menurunkan berat badan bagi menjiwai watak dalam filem Babah.

“Saya hanya amalkan ‘liquid diet’ dan minum susu sahaja sepanjang hari. Kalau lapar sangat, saya akan makan epal atau sebiji telur sahaja,” katanya.

Sweet berkata, dia berjaya menurunkan berat badannya sebanyak lima kilogram dalam tempoh seminggu mengamalkan diet berkenaan.

“Penerbit filem Babah, minta saya untuk tampil lebih kurus dan cengkung bagi menjiwai watak Maya yang juga pesakit sindrom Guillain-Barre (GBS) yang terlantar dalam filem itu.

“Jadi, saya juga menyahut cabaran itu dan berjaya turunkan berat badan sebanyak 10 kilogram iaitu dari 53 kilogram kepada 43 kilogram,” katanya.

Filem Babah sudah mencecah kutipan hampir RM6 juta selepas tiga minggu ditayangkan di pawagam tanah air.

Selain Sweet, filem itu menampilkan barisan pelakon seperti Qi Razali, Cristina Suzanne, Adam Lee dan Kis Aisha.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top