Pasangan penyanyi bersuara emas, Syamel dan Ernie Zakri, bakal mencipta detik manis apabila tampil menjayakan Konsert Eksklusif Tahun Baharu pada 31 Disember ini di Hotel Le Meridien, Petaling Jaya.
Biarpun mereka pernah berkongsi pentas sebelum ini, Syamel dan Ernie sepakat menyifatkan persembahan kali ini sebagai lebih istimewa dan bersifat peribadi, apatah lagi berlangsung dalam suasana eksklusif bersama peminat yang sentiasa menyokong perjalanan seni mereka.
“Saya sangat menantikan konsert ini kerana ia bukan sekadar persembahan biasa. Ia lebih kepada satu ruang untuk saya luahkan emosi dan rasa syukur kepada peminat yang sentiasa ada selama ini,” katanya.
Menurut pelantun lagu Masing Masing itu, dia mahu menjadikan malam tersebut sebagai momen yang bukan sahaja menghiburkan, tetapi juga menyentuh hati mereka yang hadir.
“Saya mahu mereka pulang dengan kenangan yang akan dikenang sampai bila-bila,” tambahnya.
Sementara itu, Syamel turut meluahkan rasa syukur dan teruja apabila diberikan peluang menutup tirai 2025 dengan cara yang cukup bermakna menghiburkan peminat dalam satu persembahan eksklusif yang penuh nilai sentimental.
“Bagi saya, ini bukan sekadar konsert, tapi ruang untuk saya berterima kasih secara langsung kepada peminat. Saya akan pastikan setiap detik malam itu diisi dengan sepenuh jiwa,” ujarnya.
Konsert yang bertemakan ‘Nostalgia’ itu juga bakal menyaksikan kehadiran DJ Fuzz sebagai tulang belakang muzik malam tersebut, dengan susunan lagu-lagu yang dijanjikan mampu membawa audiens menyelusuri memori lama.
“Saya akan sesuaikan pilihan muzik mengikut suasana dan tema. Mungkin ada kejutan yang tak disangka,” katanya.
Konsert anjuran Hotel Le Meridien Petaling Jaya itu dijadual berlangsung di Grand Ballroom hotel dan dijangka menjadi antara acara ambang tahun baharu paling eksklusif dan mengesankan buat peminat muzik tanah air.




