Syazwan Zulkifli pula nafi pukul kekasih

Syazwan Zulkifli pula nafi pukul kekasih

KUALA LUMPUR – Selepas Ammar Alfian, seorang lagi pelakon, Syazwan Zulkifli menafikan dirinya membelasah kekasih selepas namanya dipetik oleh beberapa individu berhubung laporan media semalam.

Pemilik nama Mohd Syazwan Zulkifly, 37, yang juga pelakon filem Juvana membuat kenyataan itu menerusi ruangan komen bagi membalas pertanyaan beberapa pengguna laman sosial.

Tegasnya, dia bukan individu yang disebut netizen berhubung isu tersebut selepas diminta dan dinasihatkan untuk menyelesaikan masalah secara baik.

“Brother, itu bukan wa brother. Malulah sikit main tuduh-tuduh orang macam ni,” tulisnya di media sosial.

Pelakon drama 7 Hari Mencintaiku juga mempersoal individu yang dilihat sibuk mencari  ‘aktor’ tersebut seolah-olah mangsa merupakan rakan mereka.

“Apa yang sibuk sangat sampai nak mencari-cari? Kawan awak ke yang kena pukul tu?” soalnya.

Semalam, Ammar menafikan tuduhan pihak yang mendakwa dia adalah pelakon yang memukul kekasih pada awal pagi Sabtu lalu.

Sebelum ini, media melaporkan seorang wanita mendakwa ditumbuk teman lelakinya yang juga pelakon dalam kejadian di Ara Damansara semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya,  Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar@Ismajl berkata, mangsa keluar bersama kakak tanpa izin teman lelaki menjadi punca perselisihan faham antara mangsa dan suspek.

Katanya, pihaknya telah menerima laporan daripada mangsa yang juga peniaga berusia 25 tahun pada pukul 6 petang semalam.

“Mangsa telah menjalinkan hubungan cinta bersama suspek berumur 37 tahun kira-kira enam bulan lalu.

“Mereka telah bertemu di Ara Damansara dan mangsa dipukul serta ditumbuk dimata sebelah kiri selepas masuk ke dalam kereta suspek,” katanya.

Tambah beliau, polis akan meminta perintah untuk siasat (OTI) daripada Pejabat Pendakwa Raya bagi memanggil suspek memberi keterangan.

Kes akan disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazete