Syed Saddiq berjaya raih RM650,959.21, arah salur 100 peratus kutipan kepada rakyat Muar

Syed Saddiq berjaya raih RM650,959.21, arah salur 100 peratus kutipan kepada rakyat Muar

am@hmetro.com.my

Muar: Larian Kesyukuran Muar yang dilakukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sejak empat hari lalu berakhir pagi tadi, berjaya meraih kutipan RM650,959.21, lebih tiga kali ganda daripada sasaran awal.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Muar itu menegaskan pihaknya tidak sesekali menggunakan wang kutipan terbabit, sebaliknya akan diagihkan sepenuhnya kepada penerima yang layak dalam daerah ini.

Katanya, wang yang diamanahkan oleh rakyat itu tidak sesekali digunakan termasuk bagi membiayai segala urusan kakitangan di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Muar.

“Kita akan berikan komitmen sepenuhnya, ketelusan 100 peratus. Malah, kita akan sediakan laporan pembentangan resit yang dibelanjakan bagi fasa pertama pada malam ini.

“Kita nak pastikan setiap sen yang dikutip disalurkan semula kepada warga Muar. Mengikut amalan biasa NGO (Pertubuhan Bukan Kerajaan), kita boleh menggunakan sehingga 30 peratus daripada kutipan itu untuk membiayai pentadbiran.

“Namun, saya sudah arahkan pasukan saya supaya jangan sesekali ambil setiap satu sen pun daripada kutipan itu. Kita kena pulangkan 100 peratus kepada mereka.

“Gaji mereka (kakitangan), saya akan bayar menggunakan duit sendiri atau saya akan cari jalan lain. Yang pasti, kita tidak sesekali menggunakan duit ini,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Muar.

Hadir sama, tunangnya yang juga pelakon dan penyanyi, Bella Astillah.

Dalam pada itu, Syed Saddiq berkata beliau juga akan mengumumkan beberapa lagi bantuan termasuk Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) kepada golongan muda agar mereka dapat melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Syed Saddiq yang menamatkan larian sejauh 170 kilometer pagi tadi turut terhutang budi kepada warga Muar kerana memberi sokongan kepadanya.

Katanya, ketika berada pada kedudukan 10km dari lokasi penamat, beliau menerima sokongan daripada pelbagai lapisan masyarakat walaupun dalam keadaan cuaca panas.

“Mereka sanggup tunggu dan apabila sampai ke Laman Maharani, saya agak terkejut melihat lautan manusia dari kiri dan kanan, hingga saya sendiri tidak boleh bergerak.

“Saya rasa kadang-kala kepenatan, otot nak kejang, ada kala nak pengsan, tapi kerana sokongan yang diberikan sedikit sebanyak menambahkan tenaga untuk saya meneruskan larian selama empat hari.

“Pada peringkat awal kita sasarkan RM200,000, tapi kita berjaya merekodkan kutipan lebih tiga kali ganda daripada sasaran yang kita letakkan. Mereka adalah rakyat biasa walhal mereka tak perlu beri sumbangan ramai.

“Kebanyakan mereka bukan dari Muar, tapi kita rakyat Malaysia. Mereka ingin membantu bukan untuk saya, tapi rakyat Muar yang memerlukan bantuan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top