PRN N9: Maira pertaruh formula 'Membina Jambatan Keluarga' dekati pengundi Labu

PRN N9: Maira pertaruh formula 'Membina Jambatan Keluarga' dekati pengundi Labu

essabuyamin@bh.com.my

Nilai: Kelebihan sebagai anak jati dan berjiwa muda menjadi taruhan utama Barisan Nasional (BN) bagi memastikan kemenangan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Labu.

Pertaruhan itu diterjemah menerusi pemilihan Ketua Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Rasah Siti Nur Umaira Hasim, 36, yang optimis bahawa statusnya yang lahir, membesar dan bersekolah di kawasan berkenaan memberi kelebihan besar untuk menawan hati pengundi.

Lebih mesra disapa Maira, beliau berkata, ikatan emosi sebagai anak tempatan memudahkannya memahami denyut nadi dan selok-belok permasalahan masyarakat setempat secara lebih mendalam.

“Saya tidak pernah keluar dari Labu. Ini kampung halaman saya dan saya adalah anak jati di sini.

“Bagi saya, kaedah kempen tradisional secara rumah ke rumah amat relevan. Dengan cara itu, saya dapat menyantuni, mendekati dan mendengar maklum balas serta masalah pengundi secara bersemuka dari hati ke hati,” katanya ketika ditemui selepas berkempen di Kampung Jijan, di sini, hari ini.

Mengulas mengenai demografi DUN Labu yang dinamik, Setiausaha Pergerakan Puteri UMNO Negeri Sembilan itu berkata, BN menampilkan strategi berbeza mengikut kesesuaian lokaliti dan peratusan usia pengundi.

Beliau meletakkan pendekatan ‘membina jambatan keluarga’ sebagai formula untuk mendekati golongan veteran dan pengundi muda.

“Saya mendekati golongan ibu dan ayah terlebih dahulu. Apabila kita berjaya menyantuni dan menambat hati ibu bapa, secara tidak langsung kita dapat mendekati anak-anak mereka kerana golongan muda selalunya menghormati pandangan keluarga dalam membuat keputusan,” katanya.

Ketika ditanya mengenai tawaran dan manifesto kepada penduduk Labu, Maira menegaskan enggan menabur ‘janji bulan dan bintang’, sebaliknya lebih fokus kepada isu realistik dan keperluan mendesak rakyat.

Antara perkara utama yang diberikan tumpuan termasuklah peluang ekonomi, kemudahan infrastruktur jalan raya di kawasan kampung serta isu perumahan mampu milik untuk generasi muda.

“Isu di setiap lokaliti adalah berbeza. Saya mahu membawa suara mereka dan fokus kepada keperluan asas serta fasiliti yang benar-benar mereka perlukan dahulu.

“Mengenai skeptisisme sesetengah pihak terhadap kemampuan calon muda, kita perlu buktikan dengan kerja.

“Banyak contoh calon muda di luar sana yang terbukti mampu membawa perubahan dan saya tekad untuk melakukan perkara yang sama di DUN Labu,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top