sukan@hmetro.com.my
Johor Bahru: Ketua jurulatih Pohang Steelers FC, Park Tae-ha menegaskan kesilapan individu yang tidak sepatutnya menjadi punca utama kekalahan 2-5 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi terakhir Zon Timur Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi.
Tae-ha berkata, pemainnya patut menyalahkan diri sendiri apabila terkeluar daripada kelompok lapan pasukan terbaik Zon Timur selepas hanya mengumpul sembilan mata daripada lapan perlawanan menyebabkan perjalanan pasukan dalam saingan ACLE terkubur di peringkat kumpulan.
Pada masa sama, pengendali berusia 56 tahun itu kesal dengan tindakan beberapa individu tidak dikenali membakar bunga api di luar hotel penginapan pemain Pohang Steelers bagi mengganggu anak buahnya tidur dan mendapat rehat mencukupi.
“Saya ingin ceritakan apa yang berlaku di hotel kami, malam tadi (kelmarin).
“Ini kerana ada segelintir individu bermain bunga api di luar hotel kami menginap untuk mengganggu tidur pemain kami sepanjang malam, ini berlaku antara 11 malam hingga 5 pagi.
“Apapun, ini bukanlah punca utama kami tumpas dalam perlawanan itu, tapi saya perlu hebahkan perkara ini. ACLE adalah pertandingan berprestij, salah satu kejohanan antarabangsa di bawah kalendar Persekutuan Bola sepak Antarabangsa (Fifa).
“Jadi, kita perlu bertanding secara baik dan profesional, perlu menghormati dan memahami lawan. Tak perlu buat provokasi. Saya tidak faham bagaimana perkara ini boleh berlaku,” kata Tae-ha yang mengutuk perbuatan itu.
Mengulas mengenai perlawanan, katanya, pada awalnya kelab Korea Selatan itu berjaya menyaingi kekuatan JDT dan terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Lee Ho-jae pada minit ke-27, sebelum Oscar Arribas tampil menyamakan kedudukan, 10 minit kemudian.
“Dalam perlawanan terakhir ini, kami cuba melakukan sebaik mungkin, namun kesilapan individu menjadi duri dalam daging dan punca utama kami tewas.
“Tiada masalah pada taktikal yang diterapkan, namun apabila sudah ketinggalan, kami bergelut untuk bangkit.
“Walaupun pemain menunjukkan semangat juang tinggi dengan menyerang hingga minit akhir, kami tak mampu untuk baiki kesilapan itu,” katanya.
Tae-ha turut mengucapkan tahniah kepada JDT kerana memenangi perlawanan itu selain menyifatkan juara Liga Super 10 kali berturut-turut itu sebagai lawan yang kuat dan dibarisi ramai pemain berkualiti.
© New Straits Times Press (M) Bhd




