
HUALIEN: Pendakwa raya Taiwan memohon waran tangkap ke atas pengurus sebuah tapak pembinaan yang traknya dipercayai menjadi punca sebuah kereta api tergelincir sehingga mengorbankan sekurang-kurangnya 50 orang.
Nahas itu, kemalangan kereta api terburuk di Taiwan dalam tujuh dekad, berlaku selepas sebuah kereta api ekspres merempuh sebuah trak yang menggelongsor di tebing bersebelahan dari sebuah tapak pembinaan. Pengurus tapak pembinaan itu disyaki gagal menekan brek dengan betul.
Kereta api itu membawa hampir 500 orang yang dalam perjalanan dari Taipei, ibu negara Taiwan, ke Taitung di pantai timur, apabila ia tergelincir di sebuah terowong di utara Hualien.
Yu Hsiu-duan, ketua pejabat pendakwa raya Hualien, memberitahu wartawan pada lewat Jumaat, waran tangkap sudah dipohon dan sedang diuruskan sistem mahkamah.
“Untuk melindungi bukti berkaitan, kami mempunyai beberapa kumpulan pendakwa raya di tempat kejadian dan sedang mencari di tempat diperlukan.”
Pekerja pada Sabtu mula memindahkan bahagian belakang kereta api, yang tidak mengalami kerosakan kerana berhenti di luar terowong dan jauh dari lokasi kemalangan.
Gerabak kereta api yang mengalami kerosakan lebih teruk masih terperangkap dalam terowong.
Presiden, Tsai Ing-wen ke Hualien akan melawat mangsa terselamat pada Sabtu. Kerajaan turut mengisytiharkan hari berkabung selama tiga hari.
Kemalangan itu berlaku pada permulaan cuti panjang hujung minggu dan kereta api dipenuhi pelancong serta penumpang yang mahu pulang ke kampung.