georgie@hmetro.com.my
Petaling Jaya: Pelakon dan pengacara Harris Annuar, 33, terkejut diberitahu jurugambar lelaki juga sahabatnya menyerang dan memukul pereka fesyen Razman dan Razmi pada insiden kelmarin.
Harris atau nama sebenarnya Mohammad Harris Shahrul Annuar berkata sepanjang mengenalinya selain pernah duduk serumah, jurugambar terbabit bukan seorang yang kasar.
“Saya tak tahu cerita sebenar, ada yang maklumkan kepada saya. Saya terkejut dengan apa yang berlaku kerana mengenali dia, dia bukan jenis begitu (bersikap ganas).
“Mungkin dia sudah pendam lama. Sepanjang tiga tahun kami duduk serumah sewaktu PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), dia seorang yang baik dan tak pernah buat hal. Dia juga solat cukup.
“Berkemungkinan disebabkan terlalu geram, jadi dia lepaskan,” katanya ditemui hadir memberi sokongan kepada sahabatnya itu di Kompleks Mahkamah Petaling Jaya, di sini, hari ini.
Harris pun sebenarnya mendapat tahu isu pertikaian hutang itu selepas insiden terbabit tular.
Dia cuma mendoakan urusan rakannya itu akan dipermudahkan.
“Berkenaan isu hutang dia tidak pernah kongsi kepada saya, termasuk isu kereta. Saya tahu selepas baca dan tonton berita mengenai kes dia semalam. Saya tak jangka insiden itu akan berlaku.
“Saya mendoakan yang terbaik kepada dia dan berharap tiada benda buruk berlaku kepadanya,” katanya.
Terdahulu, Razman dan Razmi dipukul dengan kamera oleh jurugambar lelaki terbabit di sebuah acara anugerah. Kedua mereka mengalami luka di pipi kemudian diberi rawatan kecemasan.
Kejadian berlaku ketika wartawan sedang menemubual Vida sebelum jurugambar terbabit bertindak agresif dengan menyerang dan memukul mereka dengan kamera miliknya.
Penganjur bertindak membuat laporan polis selepas kejadian itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




