am@hmetro.com.my
Kota Bharu: Berbaki kira-kira seminggu sahaja lagi untuk mendaftar pengajian, Wan Muhammad Adam Wan Mohd Firdaus masih belum melengkapkan persediaan.
Kekangan kewangan yang ditanggung keluarga menyebabkan remaja lelaki berusia 18 tahun itu berbelah bahagi sama ada ingin terus menggapai cita-cita atau enggan membebankan ibu bapa.
Bagi Wan Muhammad Adam, keterujaan sebaik menerima tawaran diploma daripada Kolej Profesional Mara (KPM), Indera Mahkota, Pahang dalam bidang Komunikasi Bahasa Inggeris semakin terpadam apabila setakat ini hanya beberapa helai pakaian sahaja mampu disediakan.
“Saya menerima tawaran pada 28 Oktober lalu dan diminta membayar yuran pengajian sebanyak RM350 sebelum 2 November dan tempoh yang singkat itu memaksa ibu bapa berhutang dengan saudara-mara bagi melangsaikan yuran terbabit.
“Saya perlu mendaftar ke kolej pada 27 November ini, namun sehingga kini masih banyak kelengkapan yang belum disediakan kecuali beberapa helai pakaian yang kebanyakannya sudah terpakai.
“Impian saya ingin menjadi seorang guru dan tawaran ke KPM ini sangat diimpikan kerana selain yurannya yang murah, jurusan yang ditawarkan juga membuka peluang untuk saya mencapai cita-cita,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Guchil Bayam di sini.
Kekangan kewangan yang ditanggung keluarga itu adalah disebabkan bapanya, Wan Mohd Firdaus Ismail, 40, menderita sakit gout kronik sejak tujuh tahun lalu yang menyebabkan dia tidak mampu bekerja, malah perbelanjaan banyak dikeluarkan untuk mengubati penyakit itu.
Tanggungjawab sebagai ketua keluarga terletak di bahu ibunya, Norkhairidah Khairul Anuar, 39, yang menyara hidup mereka dengan mengambil tempahan memasak dan membuat kuih sejuk beku, namun ia sering tergendala kerana perlu menguruskan suami serta tiga lagi anak yang masih bersekolah.
Norkhairidah berkata, Wan Muhammad Adam sempat menyambung pelajaran di Tingkatan Enam selama tiga bulan sebelum menerima tawaran melanjutkan pengajian ke KPM dan berita itu menggembirakan mereka sekeluarga.
“Dalam gembira, terselit duka kerana kami harus memikirkan bagaimana cara untuk menyediakan kos bagi persiapan anak sulung kami ke KPM dan buat masa kini, hanya mampu sediakan pakaian sahaja.
“Adam ada meluahkan kebimbangan tapi saya sering mengatakan Insya Allah, boleh… walaupun sehingga kini saya tidak tahu apa nasib Adam, adakah mampu jejakkan kaki ke pusat pengajian tinggi itu atau bagaimana.
“Sudah banyak saya berhutang dengan keluarga dan malu rasanya tapi apa boleh buat kerana kami memang memerlukan bantuan kewangan yang mendesak untuk sediakan kelengkapan Adam, kos untuk menghantarnya dan perbelanjaannya di sana (KPM) sementara mendapat elaun pengajian,” katanya.
Terdahulu, mereka menerima kunjungan badan bukan kerajaan (NGO) Cempaka Merah Asnaf Society diwakili pengerusinya, Che Norhayati Mohamed yang menyampaikan wang zakat.
Mereka yang ingin membantu boleh menghubungi talian 012-254 8884 atau membuat sumbangan ke akaun Maybank 11 222 312 8620 milik Wan Mohd Firdaus atau Bank Simpanan Nasional (BSN) 0301041100101724.
© New Straits Times Press (M) Bhd




