Tak mustahil Harimau Malaya di kedudukan 110 dunia tahun depan

Tak mustahil Harimau Malaya di kedudukan 110 dunia tahun depan

mohdsyazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Peningkatan luar biasa skuad Harimau Malaya sejak kebelakangan ini hasil daripada air tangan pengendalinya Kim Pan-gon membolehkan pasukan itu melonjakkan sekurang-kurangnya 20 anak tangga pada musim 2024.

Walaupun dilihat agak mustahil, namun bagi bekas pemain bola sepak negara, Datuk Richard Scully melihat skuad Harimau Malaya ketika ini hampir sempurna seterusnya mampu melakukan kejutan pada aksi Piala Asia yang akan berlangsung bulan depan.

Beliau berkata, taktikal dan buah fikiran Pan-gon cukup bijak mengatur skuad Harimau Malaya sekali gus menyaksikan Malaysia ketika ini berada di tangga 130 dunia iatu antara pencapaian terbaik sejak jurulatih dari Korea Selatan itu mengendalikan pasukan kebangsaan.

“Kita perlu realistik berdasarkan kepada pencapaian dan kualiti permainan yang ditampilkan barisan anak buah Pan-gon ketika ini membolehkan mereka mencapai ranking 110 dunia pada tahun depan.

“Pan-gon boleh mengawal dan mengatur pasukan tanpa campur tangan pihak lain sekali gus membantu membentuk skuad mantap untuk mengharungi perlawanan lebih besar seperti Piala Asia.

“Saya percaya, skuad Harimau Malaya akan mengalami peningkatan ranking lebih besar pada tahun depan sekali gus baik untuk meningkatkan taraf bola sepak negara,” katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Terdahulu, Malaysia menamatkan tahun ini dengan nota cemerlang apabila muncul pasukan ketiga terbaik paling banyak meraih mata dalam ranking Persekutuan Bolasepak Dunia (Fifa).

Berdasarkan ranking Disember dikeluarkan Fifa, skuad Harimau Malaya naik 15 anak tangga dalam ranking dunia sepanjang tahun ini untuk berada di kedudukan ke-130 dengan mengumpul 1,122.87 mata, iaitu peningkatan terbesar dalam kalangan negara Asia.

Panama melonjak dengan ketara pada 2023 iaitu 20 anak tangga untuk berada pada kedudukan ke-41 dalam ranking dunia, diikuti Moldova yang naik 19 anak tangga untuk berada di tempat ke-155.

Kedudukan terbaik skuad Harimau Malaya adalah di tempat ke-75 pada 1993, manakala kedudukan terendah penah diperoleh pasukan negara ialah ke-178 pada 2018.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top