sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Dimana ada perlawanan Malaysia di situ tetap akan ‘panjat’ stadium untuk memberi sokongan kepada skuad Harimau Malaya.
Itu pengorbanan yang ditunjukkan penyokong setia Harimau Malaya yang dikenali sebagai Mohd Syukur walaupun dirinya serba kekurangan dan menghadapi cabarab besar untuk menonton perlawanan bola sepak secara langsung.
Syukur yang cacat kaki dan tangan hingga terpaksa menggunakan kerusi roda untuk bergerak tidak pernah terlepas menyaksikan perlawanan Harimau Malaya sejak 10 tahun lalu.
Dia yang menetap di Bangi berkata, kebiasaannya dia akan ke stadium bersama rakan baik bagi memberi sokongan padu kepada Harimau Malaya.
“Memang akan turun. Tak pernah lagi terlepas perlawanan(Harimau Malaya). Nak main tak boleh, tapi minat bola tu tetap ada. Saya penyokong setia dan tetap sokong pasukan negara, saya support,” katanya ketika ditemui di perkaeangan Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.
Menurutnya, sokongan daripada rakan-rakan turut menjadi pemangkin semangat untuk terus hadir, walaupun berdepan kekangan tertentu.
“Kawan-kawan yang banyak bantu dari dulu. Kekurangan bukan alasan. Kalau minat, kita akan usaha juga,” katanya penuh semangat.
Mengikut rekod, skuad Harimau Malaya akan menentang Cape Verde yang kini berada di ranking ke 72 dunia sebanyak dua kali iaitu hari ini dan satu lagi aksi tertutup yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil 3 Jun ini.
Sudah pastinya, perlawanan terbabit penting sebagai persediaan skuad Harimau Malaya yang akan menentang Vietnam dalam aksi kelayakan kumpulan F Piala Asia 2027.
© New Straits Times Press (M) Bhd
