Tak sabar untuk peluk Eda Ezrin – Bapa

Tak sabar untuk peluk Eda Ezrin – Bapa

nfazlina@nstp.com.my

Rantau Panjang: ‘Saya tidak sangka selepas sembilan bulan akhirnya hari ini saya dapat bertemu dengan Eda Ezrin dan memeluknya bagi melepaskan kerinduan.”

Demikian luahan Wan Ismail Wan Yusuf, 52, iaitu bapa kepada penyanyi dikir barat Kelantan, Eda Ezrin atau Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail bersama suami dan empat rakan yang dibebaskan sepenuhnya dari tahanan Penjara Pusat Wilayah Narathiwat semalam.

Katanya, dia kini dalam perjalanan dari Kota Bharu ke Rantau Panjang bagi menyambut kepulangan anak sulungnya serta menantu.

“Hari ini adalah seperti mimpi buat kami sekeluarga apabila kami akhirnya dapat berjumpa dengan Eda Ezrin dan memeluknya selepas sekian lama.

“Sebelum ini sepanjang Eda Ezrin berada di penjara, kami hanya bercakap melalui telefon sahaja untuk beberapa minit setiap kali mengadakan lawatan di penjara berkenaan.

“Namun hari ini segalanya sudah berakhir dan Eda akhirnya dapat kembali ke pangkuan keluarga. Saya dan anak-anak Eda serta datuknya akan menunggunya di sini.

“Sebaik semuanya selesai, saya akan membawa Eda Ezrin ke rumah saya di Nilam Puri,” katanya.

Semalam, media melaporkan Eda Ezrin dibebaskan dari Penjara Pusat Narathiwat selepas lebih sembilan bulan ditahan.

Mahkamah membuat keputusan itu selepas pihak pendakwa raya Thailand gagal mengemukakan saksi dan bukti untuk merayu kes berkenaan.

Pada 14 Januari lalu, Eda Ezrin dan lima yang lain termasuk suaminya Mohd Affendi Ahmad, 35, didakwa di Mahkamah Wilayah Narathiwat atas pertuduhan memiliki 6,059 pil Yaba dan penggunaan dadah.

Bagaimanapun pada 6 Mac lalu, keenam-enam mereka dibebaskan Mahkamah Wilayah Narathiwat daripada pertuduhan memiliki 6,059 pil Yaba.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top