Tak wajar gaji siswazah bawah RM3,000

Tak wajar  gaji  siswazah bawah  RM3,000

Kuala Lumpur: Gaji bawah RM3,000 sebulan bagi golongan siswazah dilihat tidak wajar atau setimpal dengan kelayakan dimiliki terutama dalam keadaan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Penerbit kandungan, Nor Aziah Mat Noh, 28, berkata, kadar gaji bagi golongan siswazah dilihat masih rendah dengan kebanyakannya ditawarkan gaji RM2,500 hingga RM3,000 sebulan bagi pemegang ijazah sarjana muda.

“Memang ada usaha daripada kerajaan untuk meningkatkan gaji minimum pekerja, namun siswazah yang belajar sehingga ke peringkat tinggi masih menerima gaji tidak sepadan dengan kelayakan.

“Dengan bayaran gaji kurang memuaskan dan kos pendidikan semakin tinggi, mungkin pada masa hadapan ramai yang memilih untuk tidak menyambung pelajaran kerana pulangan gaji diterima tidak setimpal selain dibelenggu hutang pendidikan,” katanya.

Nor Aziah yang juga pemegang Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa Kewartawanan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata, sebelum ini, dia pernah ditawarkan gaji bawah RM,3000.

“Meskipun gaji saya kini RM4,000 yang mungkin kedengaran tinggi daripada gaji minimum, namun kerana tuntutan komitmen, hutang pendidikan serta perbelanjaan harian, ia masih dikira mencabar.

“Ia satu cabaran kerana kebanyakan golongan profesional seperti saya terpaksa menghabiskan gaji untuk komitmen hutang serta bayaran bulanan kereta sekali gus sukar untuk membuat pembelian besar seperti rumah atau hartanah,” katanya.

Menurutnya, dia merancang untuk menjalankan perniagaan sendiri pada masa akan datang memandangkan ‘tangga’ gaji di negara ini masih tidak selari dengan kuasa membeli rakyat.

“Justeru, saya perlu merancang masa depan dengan lebih teliti bagi memastikan dapat hidup lebih selesa tanpa perlu ‘makan’ gaji.

“Saya berharap kerajaan mampu merealisasikan peningkatan gaji bagi siswazah supaya golongan muda yang berpendidikan lebih berminat untuk bekerja dan seterusnya menyumbang kepada ekonomi negara,” katanya.

Sementara itu, pembantu pembedahan pergigian, Nurul Insyirah Sedek, 21, berkata, gaji bawah RM3,000 yang ditawarkan kepada siswazah mungkin tidak begitu membebankan bagi mereka yang tiada komitmen.

“Buat masa sekarang, gaji yang saya terima iaitu bawah RM2,000 dirasakan wajar memandangkan saya tiada komitmen, hutang dan tinggal bersama ibu bapa.

“Gaji yang saya perolehi digunakan untuk simpanan, perbelanjaan keperluan serta diberikan kepada ibu bapa,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top