Takut jadi nyanyuk, Che Ta amalkan surah Yasin selepas solat subuh

Takut jadi nyanyuk, Che Ta amalkan surah Yasin selepas solat subuh

Pelakon dan usahawan Rozita Che Wan mengakui berasa takut akan mengalami penyakit nyanyuk memandangkan usianya hampir berginjak ke separuh abad.

Menerusi laporan Harian Metro, Rozita atau lebih mesra disapa Che Ta berkata, pada ketika ini dia sering mengamalkan bacaan surah yassin setiap kali selesai solat subuh, pada setiap hari.

Jelasnya, dia tidak mahu waktu tuanya hanya untuk menjaga kecantikkan semata-mata berbanding menjaga kesihatan fizikal dan juga mental.

“Saya pilih untuk tua dalam keadaan sihat berbanding cantik tetapi sakit. Apa yang saya takutkan adalah menjadi nyanyuk tetapi Insya-Allah perkara itu boleh diatasi sekiranya kita mengamalkan bacaan surah Yasin setiap kali selepas solat Subuh,” katanya.

Dalam pada itu juga, pelakon yang berusia 49 tahun itu turut memaklumkan dia sedang dalam proses untuk menutup aurat lebih sempurna berbanding sebelum ini.

Katanya, sudah tiba masa untuk dia memberi fokus sepenuhnya kepada akhirat pula memandangkan dirinya sudah semakin berusia.

“Kalau boleh saya nak pakai stoking tangan dan kaki kerana dua benda itu memang saya nak buat. Bila kita asyik kejar dunia, lambatlah nak sampai ke akhirat,” jelasnya lagi.

Bukan itu sahaja, Che Ta juga mendedahkan meskipun wajahnya mempunyai kedutan, tetapi sehingga kini di masih tidak mempunyai uban pada rambutnya.

Sumber: Harian Metro (Najiy Jefri)