KABUL: Presiden Afghanistan, Ashraf Ghani, semalam meninggalkan negara itu selepas Taliban memasuki ibu negara, Kabul, dan mengisytiharkan kemenangan selepas pertempuran hanya 10 hari.
Ashraf berkata, kumpulan pemberontak itu sudah menang selepas mereka masuk ke Kabul, 20 tahun selepas mereka diusir oleh tentera gabungan Amerika Syarikat (AS) dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).
“Taliban sudah menang melalui ‘pedang serta senjata api’ dan kini bertanggungjawab terhadap kehormatan, harta benda dan hak asasi penduduk Afghanistan.
“Mereka kini berdepan ujian sejarah baru sama ada mahu menjaga nama dan kedaulatan Afghanistan atau mengutamakan kepentingan peribadi serta rangkaian mereka,” katanya dalam kenyataan pertama di Facebook selepas melarikan diri.
Ghani tidak menyebut destinasinya tetapi kumpulan media Afghanistan, Tolo, mendakwa beliau menuju ke Tajikistan selain melaporkan tindakannya meninggalkan Afghanistan ialah untuk mencegah ‘pertumpahan darah.
Tuntutan supaya Ghani meletak jawatan adalah antara pra syarat perbincangan damai dengan Taliban selama beberapa bulan tetapi beliau degil enggan berundur.
Sementara itu, jurucakap pemberontak Taliban pula mengesahkan mereka sudah masuk ke beberapa daerah di negeri itu ‘bagi memastikan keselamatan’.
Tiga sumber Taliban memberitahu AFP bahawa mereka sudah menguasai istana presiden dan mesyuarat keselamatan akan diadakan segera.
Dalam tempoh hanya seminggu, Taliban melancarkan serangan mengejut di negara itu dengan pasukan tentera gagal menjaga wilayah mereka tanpa sokongan tentera AS, yang akhirnya membuat keputusan berundur selepas kehadiran selama 20 tahun.
Pemberontak juga mendakwa mereka mahukan ‘peralihan kuasa yang aman’ dalam tempoh beberapa hari ini.
Awal semalam, kumpulan itu mengarahkan pejuang mereka supaya jangan memasuki ibu negara dan membiarkan saki baki pasukan kerajaan untuk menjaga keselamatan.
Bagaimanapun, seorang jurucakap mendedahkan dalam Twitter bahawa Taliban sudah memasuki beberapa daerah, malah sudah menguasai hampir keseluruhan Afghanistan.
“Beberapa unit tentera Emiriah Islam Afghanistan sudah memasuki bandar Kabul untuk menjaga keamanan,” ciap jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid.
Ketika ini, wujud kelompangan keselamatan di Kabul kerana puluhan polis dan anggota pasukan bersenjata lain meninggalkan tugas, pakaian seragam, malah senjata mereka.
AS juga semakin giat memindahkan warga mereka termasuk kakitangan Afghanistan ke lapangan terbang Kabul, dengan dibantu oleh ribuan pasukan tentera yang dikerah membantu pemindahan itu.
Setiausaha Agung NATO, Jens Stoltenberg, berkata gabungan kuasa Barat kini berusaha memastikan operasi lapangan terbang tidak tergendala untuk membawa pulang rakyat masing-masing.
Setiausaha Negara AS, Antony Blinken, pula menolak andaian sesetengah pihak menyamakan pengunduran dari Afghanistan dengan pengunduran tentera AS dari Saigon, Vietnam pada 1975.
“Hakikatnya, AS memasuki Afghanistan 20 tahun lalu dengan matlamat menghukum mereka yang bertanggungjawab melakukan serangan pada 11 September (9/11) dan misi itu sudah berjaya,” katanya. – AFP
© New Straits Times Press (M) Bhd




