KABUL: Pejuang Taliban mengawal ketat sekitar lapangan terbang Kabul sehingga mengundang kebimbangan kononnya mereka menghalang akses rakyat Afghanistan untuk keluar dari negara berkenaan.
Malah, Amerika Syarikat (AS) menuntut supaya Taliban memberi laluan selamat kepada individu yang ingin keluar dari Afghanistan.
Timbalan Setiausaha Negara, Wendy Sherman, mendakwa Taliban memungkiri janji untuk membenarkan rakyat Afghanistan yang bekerja dengan AS dan sekutunya keluar dari negara berkenaan.
“Kami sudah melihat laporan bahawa Taliban bertentangan dengan kenyataan serta komitmen dibuat mereka, menghalang individu yang berhasrat meninggalkan negara itu, menuju ke lapangan terbang.
“Kami meminta mereka membenarkan semua rakyat AS, rakyat negara ketiga dan rakyat Afghanistan yang berhasrat keluar, dibenarkan berbuat demikian dengan selamat tanpa halangan,” katanya.
Jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid baru-baru ini dilaporkan berkata, bahawa regim baharu akan lebih positif serta berbeza berbanding pentadbiran pejuang itu pada 1996 hingga 2001.
Ribuan penduduk Afghanistan cuba menyelamatkan diri dengan keluar dari negara berkenaan bagi mencari perlindungan selepas Taliban mengambil alih tampuk pemerintahan sebaik AS menarik diri dari negara berkenaan.
Malah, pemimpin Taliban berulang kali memberi jaminan tidak akan membalas dendam dan mempromosikan imej toleransi.
Mereka turut menggambarkan kematangan berpolitik apabila pengasas bersama Taliban, Mullah Abdul Ghani Baradar yang pulang dari pembuangan serta beberapa pemimpin kanannya mengadakan pertemuan dengan bekas Presiden, Hamid Karzai. – AFP
© New Straits Times Press (M) Bhd




