Tambah baik skim ATM, hadiah pengiktirafan akademik, Dana INTAN antara 'hadiah' PM kepada penjawat awam

Tambah baik skim ATM, hadiah pengiktirafan akademik, Dana INTAN antara 'hadiah' PM kepada penjawat awam

Putrajaya: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelbagai inisiatif baharu bagi memperkukuh perkhidmatan awam termasuk penambahbaikan skim Angkatan Tentera Malaysia (ATM), pemberian Hadiah Pengiktirafan Akademik (HPA) serta peruntukan dana bagi memperkasa Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN).

Beliau berkata langkah itu selaras dengan usaha kerajaan meningkatkan kecekapan, profesionalisme dan kebajikan penjawat awam di semua peringkat sekali gus memastikan agenda pembangunan negara dapat dilaksana dengan lebih berkesan.

“Kerajaan bersetuju memperluas tujuh kelayakan masuk pelbagai bagi Skim Perkhidmatan Askar-Lasykar Angkatan Tetap ATM Gred Z1 (Tugas Khusus) seperti Kor Perubatan, Kor Agama dan Kor Kejuruteraan selain meluaskan Insentif Berasaskan Prestasi (BIPs) kepada anggota lain-lain pangkat iaitu Sarjan Setaraf (Gred Z4) dan Staf Sarjan Setaraf (Gred Z5).

“Tempoh perkhidmatan yang melayakkan BIPs juga dipendekkan daripada enam tahun kepada empat tahun, memberi manfaat kepada 3,789 anggota dengan implikasi RM6.47 juta setahun,” katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-20 (MAPPA XX) Tahun 2025 anjuran Jabatan Perkhidmatan Awam dengan kerjasama INTAN di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta barisan Menteri Kabinet antaranya Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan barisan ketua setiausaha kementerian turut menghadiri majlis yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top