mohdsyazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Beregu campuran nombor satu negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei hampir saja merobohkan tembok besar China sebelum tewas kepada pasangan China pada aksi final Jelajah Dunia Akhir BWF yang berlangsung di Hangzhou, China, sebentar tadi.
Walaupun tewas 18-21,21-14,17-21 kepada Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong, namun persembahan yang ditampilkan pasangan negara cukup membanggakan apabila hampir saja merobek ego pemenang pingat emas Sukan Olimpik Paris 2024 itu.
Pada pertemuan set pertama menyaksikan beregu negara banyak melakukan kesilapan mudah apabila sering menghantar bulu tangkis ke luar gelanggang sekali gus memberi kelebihan kepada lawan untuk merakam kemenenangan 18-21.
Walaupun lawannya itu memiliki reputasi besar, namun wakil negara mampu bangkit pada pertemuan kedua dengan merakam kemenangan 21-14.
Pada set penentuan, kedua-dua beregu terbabit saling mengekori rapat mata apabila tidak memberi ruang kepada lawan masing-masing untuk menjarakkan kedudukan.
Walaupun berhadapan dengan ribuan penyokong tuan rumah, Tan Jie Ee Wei masih lagi mampu lagi memberi tentangan sengit sebelum terpaksa akur tewas 17-21.
Mengikut rekod, ini adalah antara pencapaian terbaik pasangan negara itu selepas mereka bergelar juara Terbuka Korea pada September lalu.
Pasangan negara yang mengakhiri saingan sebagai naib juara tidak pulang dengan tangan kosong apabila memenangi AS$100,000 (RM445,298) manakala wakil China menerima ganjaran AS$210,000 (RM934,500) selaku juara kategori beregu campuran.
© New Straits Times Press (M) Bhd




