BN diingatkan kukuhkan hubungan dalam Kerajaan Perpaduan

BN diingatkan kukuhkan hubungan dalam Kerajaan Perpaduan

am@hmetro.com.my

Butterworth: Semua parti komponen Barisan Nasional (BN) termasuk Friends of BN diingatkan terus menjalani hubungan baik dengan gabungan parti dalam Kerajaan Perpaduan demi kestabilan politik dan ekonomi negara.

Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu penting untuk mengelakkan situasi seperti penggal lalu berulang, apabila kerajaan ditubuhkan terlalu rapuh sehingga menyaksikan peralihan tiga Perdana Menteri dalam tempoh satu penggal.

“Insya-Allah dengan dokongan BN, dokongan rakan lain di dalam Kerajaan Perpaduan, kerajaan ini akan kekal sehingga Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) nanti.

“Disebabkan itu, kita mahu melihat jalinan hubungan antara Umno, MCA, MIC dan rakan dalam Friends of BN terus menjadi penyumbang utama kepada Kerajaan Perpaduan yang mentadbir Malaysia pada hari ini,” katanya ketika berucap pada Konvensyen BN di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid mengakui banyak cabaran, sama ada dari luar atau dalaman, yang diyakini dapat diselesaikan dengan kebijaksanaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Segala-galanya memerlukan kebijaksanaan Perdana Menteri,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top