Cinta yang tidak berbalas sering kali meninggalkan luka paling dalam. Inilah emosi yang cuba dizahirkan oleh komposer tersohor Indonesia, Yovie Widianto, menerusi karya semula lagu ‘Tanpa Cinta’ kali ini berkolaborasi bersama penyanyi berbakat besar, Tiara Andini.
Lagu ini bukanlah karya baharu sepenuhnya, sebaliknya merupakan versi segar dari lagu asal yang pernah dilancarkan sebelum ini, dan kini diterbitkan semula di bawah label Universal Music Indonesia.
Menurut Yovie, lagu ini menggambarkan tentang perjuangan untuk meneruskan kehidupan dan menerima hakikat cinta yang tidak dapat dimiliki.
“Lagu ‘Tanpa Cinta’ ini mengisahkan tentang seseorang yang terluka kerana cintanya tidak berbalas, dan orang yang dicintainya telah berpaling kepada orang lain.
“Lagu ini menggambarkan perjuangan untuk meneruskan kehidupan dan menerima hakikat cinta itu sudah tidak dapat dimiliki, jadi lebih baik teruskan hidup tanpa cinta,” katanya.
Pemilihan Tiara

Berkongsi mengenai pemilihan Tiara sebagai rakan duet, Yovie menjelaskan, pemilihan ini sudah dirancang sejak awal lagi.
“Saya memang sudah rancang sejak awal bahawa untuk versi terbaharu lagu ini, saya mahukan Tiara yang menyanyikannya. Dan ternyata, Tiara menyambut baik ajakan ini,” tambahnya.
Manakala menurut Tiara, selain menyukai lagu ini, dia juga mahukan cabaran selain dapat berkolaborasi bersama Yovie.
“Saya memang sangat sukakan lagu ini. Jadi apabila ada pelawaan untuk kolaborasi, saya tidak berfikir panjang untuk menerimanya.
“Tambahan pula ini karya daripada papa Yovie. Walaupun ada cabaran tersendiri, saya amat berpuas hati dengan hasilnya,” ujar Tiara Andini.
Muzik video tampil pendekatan visual teaterikal yang artistik
Dari segi muzik, pelantun lagu ‘Sampai Akhir Waktu’ ini mengekalkan inti pati asal lagu, namun mempersembahkannya dengan susunan yang lebih segar dan moden.
Video muzik pula menampilkan pendekatan visual teaterikal yang artistik, diarahkan oleh Prialangga, lengkap dengan elemen tarian yang memperkuatkan lagi penyampaian emosinya.
“Konsepnya ringkas tapi penuh makna. Visual yang indah ini menjadikan lagu lebih hidup.
“Dan, semoga ‘Tanpa Cinta’ dapat dinikmati bukan hanya oleh peminat lama, tetapi juga generasi muda yang melalui cabaran cinta mereka sendiri,” ujarnya.




