Tanpa perlindungan, mampukah kita tanggung segala risiko?

Tanpa perlindungan, mampukah kita tanggung segala risiko?

“Tambah lagi satu caruman?”

Itulah reaksi yang mungkin terlintas di fikiran sesetengah pihak apabila mendengar mengenai Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (SKBBK) atau lebih dikenali sebagai Skim LINDUNG 24 Jam di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Dalam keadaan kos sara hidup meningkat, harga barang yang tidak menentu dan pelbagai komitmen bulanan yang perlu dipenuhi, setiap tambahan perbelanjaan mudah dilihat sebagai satu beban.

Foto: Janaan AI

Sama ada bagi majikan mahupun pekerja, persoalan yang sering timbul ialah, “Benarkah caruman ini benar-benar diperlukan?”

Persoalan itu sebenarnya wajar kerana tiada siapa yang mahu membayar sesuatu yang dirasakan tidak memberi manfaat, namun persoalan yang lebih penting ialah berapa pula kos yang perlu ditanggung apabila kemalangan benar-benar berlaku?

Hakikatnya, kemalangan tidak hanya berlaku di tempat kerja. Ia boleh berlaku ketika menghantar anak ke sekolah, bersukan pada hujung minggu, membeli barang keperluan, pulang bercuti dari kampung halaman atau sekadar menunggang motosikal ke kedai berhampiran rumah.

Foto: Janaan AI

Dalam sekelip mata, seseorang yang sihat dan produktif boleh kehilangan keupayaan untuk bekerja, sama ada buat sementara waktu atau lebih lama daripada yang disangka.

Apabila keadaan itu berlaku, kesannya bukan sekadar kepada mangsa. Pendapatan mungkin terjejas, kos rawatan meningkat, komitmen bulanan tetap perlu dibayar serta seluruh keluarga turut merasai kesannya.

Di sinilah tujuan sebenar SKBBK, di mana skim ini diwujudkan bukan kerana kerajaan menjangkakan semua orang akan ditimpa kemalangan, tetapi kerana tiada siapa mampu meramalkan bila kemalangan akan berlaku.

Caruman yang dibuat hari ini sebenarnya menjadi jaringan perlindungan sekiranya perkara yang tidak diingini berlaku pada masa hadapan.

Foto: Janaan AI

Dalam dunia perlindungan sosial, caruman bukan sekadar satu bayaran. Konsepnya mudah, iaitu setiap individu mencarum sejumlah kecil agar jika mereka yang ditimpa musibah dapat menerima bantuan kewangan, sekali gus tidak perlu menanggung beban tersebut secara bersendirian.

Akhirnya, persoalan sebenar bukanlah sama ada caruman SKBBK itu membebankan atau tidak. Sebaliknya, jika musibah benar-benar berlaku, adakah kita bersedia menanggung sendiri segala kos dan kesannya tanpa sebarang perlindungan?

Kerana apabila musibah datang tanpa diduga, nilai sebenar sesuatu caruman bukan lagi diukur pada jumlah yang dibayar, tetapi pada perlindungan yang diterima ketika ia paling diperlukan.

Scroll to Top