Tarik belia Melayu ceburi pertukangan emas – Utusan Digital

KOTA BHARU: Pembukaan kilang pertukangan emas oleh Koperasi Makmur Malaysia Berhad (KMMB) di Jalan Temenggong, di sini diharap mampu menjadi pelopor untuk menarik lebih ramai belia Melayu menceburi bidang tersebut.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, orang Melayu selama ini jarang terlibat dengan pertukangan emas menyebabkan bidang tersebut dimonopoli bukan Melayu.

“Saya sudah melakukan lawatan ke banyak tempat pertukangan emas dan kali ini saya teruja melihat golongan belia Kelantan terlibat dengan kerja-kerja pertukangan emas dengan mendapat pulangan yang tinggi.

“Sebelum ini pertukangan emas bukanlah bidang orang Melayu namun KMMB telah mengorak langkah untuk mempelopori usaha ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Kilang Pertukangan Emas dan Perak KBBM di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian itu, Datuk Suriani Ahmad; Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Datuk Nordin Salleh dan Pengerusi KMMB, Hishamuddin Abdullah.

Setakat ini KMMB yang berpusat di Kuantan mempunyai cawangan di Tunjong, di sini; Bandar Baru Bangi dan Kuala Terengganu.

KMMB dijadual membuka tiga lagi cawangan baharu di Putrajaya, Ipoh dan Johor Bahru, bulan depan selain merancang membuka sebuah lagi kilang pertukangan emas di Kawasan Perindustrian Gebeng, Kuantan.

Dalam perkembangan lain, Wan Junaidi berkata, kerajaan bersedia memberi sokongan kepada individu yang menjalankan kegiatan melombong emas asalkan mereka mempunyai lesen dan kebenaran berbuat demikian oleh kerajaan negeri.

Beliau merujuk kepada laporan akhbar Kosmo! mengenai aktiviti melombong emas di tanah milik persendirian yang rancak dilakukan penduduk di Kampung Kechau, Lipis, Pahang baru-baru ini.- UTUSAN ONLINE