hafidzul@hmetro.com.my
Shah Alam: “Adik saya masih dalam keadaan baik, kami mengecam tatu dia,” kata abang kepada mendiang K Suresh, 37, ketika mengesahkan mayat adiknya yang ditemukan lemas selepas dihanyutkan kepala air di Sungai Klang, Isnin lalu.
Abang mangsa yang enggan dikenali itu berkata, ahli keluarganya dibawa oleh polis untuk proses pengecaman sebaik sahaja menerima maklumat penemuan mayat berkenaan.
“Saya dan beberapa adik-beradik lain melakukan pengecaman terhadap tubuh mendiang.
“Mereka bawa kami terus ke lokasi mayat adik ditemukan, bila tengok mayat, memang sah adik saya, mukanya, tatu, semuanya sama dan mayat dia masih elok,” katanya ketika ditemui di pekarangan Unit Forensik Hospital Shah Alam di sini, hari ini.
Dia menyifatkan adiknya seorang yang rajin, berani dan disenangi sesiapa sahaja yang mengenalinya.
“Dia tak memilih dalam berkawan, memang baik dengan semua orang, selain itu dia juga baik dengan rakan serta anak buahnya ketika bekerja, tak kisah sama ada mereka warga tempatan atau asing.
“Sikapnya juga sebegitu, seorang yang ceria dan periang dalam keluarga, kehilangannya amat dirasai kami sekeluarga,” katanya.
Menurutnya, kali terakhir dia bertemu dengan adiknya itu pada Ahad lalu.
“Hari Ahad itu macam biasa, kami bertemu seperti biasa, tiada sebarang perubahan yang ditunjukkan mendiang.
“Bila hari kejadian itu, dapat panggilan kata adik hilang serta dipercayai lemas, kami sekeluarga memang terkejut, sampai sekarang pun masih terkejut, kejadian itu berlaku sekelip mata,” katanya.
Dia turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR).
“Polis banyak beri sokongan moral, Ketua Polis Daerah sebelum ini beri jaminan akan sedaya upaya melakukan usaha mencari dan menyelamat adik saya.
“Saya ucapkan terima kasih kepada semua pihak terbabit, pihak bomba dan pelbagai agensi yang membantu, kami sangat berterima kasih, akhirnya adik ditemukan,” katanya.
Terdahulu, mayat seorang lelaki yang hilang selepas dihanyutkan kepala air Sungai Klang berhampiran Pintasan Saloma pada Isnin lalu ditemukan di Sungai Kandis, Shah Alam.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam mengesahkan mangsa ditemukan sekitar jam 10.30 pagi sebelum dibawa ke Hospital Shah Alam untuk proses bedah siasat.
Isnin lalu, media melaporkan, seorang lelaki yang sedang melakukan kerja penambahbaikan Sungai Klang dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan kepala air berhampiran Pintasan Saloma, jam 5.40 petang semalam.
Ketika kejadian, terdapat 13 pekerja sedang bertugas di lokasi berkenaan yang mana 12 daripada mereka berjaya diselamatkan.
Mereka terdiri daripada tujuh warga Indonesia, Bangladesh (empat) dan seorang warga tempatan.
Susulan itu, lebih 200 anggota daripada pelbagai agensi terbabit dalam SAR.
© New Straits Times Press (M) Bhd




