Tripoli: Seorang peniaga telefon bimbit di Libya tidak menyangka akan menerima telefon Nokia yang dipesannya pada 2010, 16 tahun kemudian, lapor NDTV.
Penghantaran yang tertangguh sejak perang saudara 2011 itu akhirnya tiba di kedai, selepas bertahun-tahun terkandas di gudang akibat keruntuhan sistem logistik dan kastam negara yang tidak berfungsi.
Peranti berbutang yang pernah menguasai pasaran itu kini menjadi artifak nostalgia teknologi, dilupakan di tengah-tengah kekacauan logistik dan pergolakan negara.
Peniaga terbabit tergelak ketika membuka kotak model lama itu dan berseloroh, “Adakah ini telefon atau artifak sejarah?”
Hantaran itu merangkumi model mewah pada era itu seperti Nokia “Edisi Muzik” dan Nokia Communicator yang pernah menjadi simbol status elit tetapi kini kelihatan ketinggalan zaman berbanding teknologi moden.
Kejadian itu menjadi satu kisah lucu dan nostalgik, membuktikan bagaimana sejarah dan konflik boleh meninggalkan jejaknya dalam kehidupan seharian termasuk telefon yang tiba lebih daripada satu dekad lewat.
Satu video yang memaparkan proses membuka kotak (unboxing) peranti itu tular di platform media sosial, sekali gus menonjolkan keanehan penghantaran yang berpunca akibat konflik di Libya.
Lebih menarik, kedua-dua penghantar dan penerima telefon Nokia itu berada di Tripoli, hanya beberapa kilometer sahaja jaraknya antara satu sama lain.
Meskipun jaraknya dekat, bungkusan itu mengambil masa 16 tahun untuk sampai akibat keruntuhan infrastruktur semasa perang saudara.
Video itu mencuit hati ramai pengguna media sosial dengan ramai memberi komen bagaimana konflik boleh mengganggu kehidupan seharian dan operasi perniagaan secara serius.
Malah, ada yang melihat potensi pada peranti lama itu dengan menekankan permintaan tinggi terhadap teknologi vintaj dalam pasaran pengumpul global.
Seorang pengguna menulis bahawa telefon itu sangat bernilai dalam senario geopolitik semasa kerana tidak mempunyai alat pengesan manakala netizen lain menganggapnya sebagai trofi berharga dari era yang hebat.
© New Straits Times Press (M) Bhd




