am@hmetro.com.my
Tuaran: Polis melepaskan beberapa das tembakan terhadap kereta yang dipandu laju dan melawan arus, selain cuba merempuh kereta peronda polis (MPV) di Jalan Tuaran-Kota Kinabalu berhampiran stesen minyak di pekan Telipok, semalam.
Ketua Polis Daerah Tuaran, Superintendan Noraidin Ag Maidin berkata, kejadian berlaku pada 9.29 malam selepas MPV IPD Kota Kinabalu terserempak dengan Proton Wira dinaiki dua lelaki yang mencurigakan.
Katanya, anggota MPV itu mengarahkan pemandu memberhentikan kereta, namun suspek memecut laju dan cuba merempuh kenderaan polis.
“Akibat tindakan agresif itu, anggota terpaksa melepaskan beberapa das tembakan ke arah kereta suspek dengan tujuan menghentikan kereta terbabit, selain mempertahankan diri dan keselamatan pengguna jalan raya lain.
“Bagaimanapun kereta itu dipandu laju menghala ke Taman Sri Rugading, Tuaran. Kereta itu akhirnya berjaya dihentikan dan kedua-dua suspek yang cuba melarikan diri berjaya ditangkap.
“Suspek adalah lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Noraidin, pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan menemukan peralatan untuk menghisap dadah jenis syabu dan kedua-dua suspek didapati mempunyai beberapa rekod jenayah lampau.
Katanya, mereka ditahan reman untuk siasatan lanjut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd

