London: Erik ten Hag menyatakan bahawa dia tidak sabar untuk menandatangani Noussair Mazraoui dari Bayern Munich dan percaya bek kanan itu boleh membantu memulihkan kerjaya Antony di Old Trafford.
United menghabiskan hampir £90 juta (RM542.71 juta) musim panas ini dengan membawa Joshua Zirkzee dan Leny Yoro ke United dan sedang dalam perbincangan untuk menandatangani Manuel Ugarte dari Paris Saint-Germain untuk menguatkan pilihan mereka di bahagian tengah.
Bos United itu juga berminat untuk mendapatkan bek kanan baharu.
Ketika Diogo Dalot membuktikan dirinya sebagai pemain utama musim lalu, Aaron Wan-Bissaka adalah antara yang akan dijual dengan West Ham United berminat untuk menandatangani bekas bintang Crystal Palace itu.
United sudahpun mengadakan perbincangan secara serius dengan Bayern mengenai perpindahan Mazraoui – seorang lagi bekas pemain Ajax ketika di bawah Ten Hag yang memenangi tiga gelaran Eredisivise di bawah kendalian pengurus Belanda itu sebelum ke Jerman pada 2022.
Kedatangan Mazraoui akan memberikan United pilihan lain di sebelah kanan jika Wan-Bissaka meninggalkan kelab itu namun Ten Hag yakin pemain antarabangsa Maghribi itu dapat membantu mengukuhkan potensi Antony, yang berdepan kesulitan sejak kedatangannya dua tahun lalu di Manchester.
Mazraoui dan Antony pernah bekerjasama di bahagian kanan semasa mereka bersama di Ajax dengan Ten Hag percaya kehadiran bek sayap itu boleh meningkatkan prestasi Antony,
Antony ditandatangani dari Ajax dengan harga £85 juta (RM512.58 juta) pada Ogos 2022, menjaringkan gol dalam tiga penampilan pertamanya untuk kelab itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd
