Tenis buat saya ketagih – Djokovic

Tenis buat saya ketagih – Djokovic

Melbourne: Novak Djokovic berkata tenis masih memberinya lonjakan adrenalin ‘seperti dadah’, sekali gus menegaskan dia belum terfikir untuk bersara dalam masa terdekat.

Pemain berusia 38 tahun itu bakal mengharungi Terbuka Australia kali ke-21 dalam kariernya dan masih kekal sebagai antara pencabar utama, di belakang juara bertahan, Jannik Sinner serta pemain nombor satu dunia, Carlos Alcaraz.

Melbourne Park adalah gelanggang kegemarannya apabila dia sudah merangkul 10 kejuaraan di situ.

Walaupun mengurangkan penyertaan dalam kejohanan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, legenda Serbia itu tetap yakin masih mampu bersaing dengan pemain terbaik dunia dan belum bersedia meninggalkan sukan berkenaan.

“Sejujurnya, saya masih mempunyai impian tersendiri,” kata bekas pemain nombor satu dunia itu menjelang Grand Slam pertama musim ini.

“Ia mengenai minat dan kecintaan terhadap permainan ini. Ia mengenai interaksi dengan orang ramai. Ia mengenai tenaga yang anda rasai apabila melangkah ke gelanggang.

“Lonjakan adrenalin itu, ia hampir seperti dadah.

“Saya rasa ramai atlet elit daripada pelbagai sukan boleh memahami perasaan itu. Sekurang-kurangnya saya sering mendengar mereka bercakap mengenainya.

“Ia umpama perasaan ketagih ketika bertanding,” katanya lagi.

Pesaing lamanya, Roger Federer dan Rafael Nadal, masing-masing sudah menggantung raket, dan Djokovic berkata, dia sering ditanya bila masanya dia akan mengikut jejak langkah mereka.

“Saya sering ditanya mengenai bila tarikh penamat untuk saya, tetapi saya tidak mahu bercakap atau memikirkannya lagi buat masa ini kerana saya masih di sini, saya masih bertanding,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top