KYIV: Tentera Russia yang memasuki Ukraine kini dilaporkan berkumpul di beberapa lokasi di pinggir Kyiv sebelum memulakan fasa serangan seterusnya.
Pertempuran dan letupan masih berterusan sejak Russia melancarkan serangan semalam, dengan tentera Russia dilaporkan berjaya menguasai beberapa kawasan.
Serangan yang memasuki hari kedua itu berlaku selepas Presiden Russia, Vladimir Putin, tidak mempedulikan amaran Barat supaya tidak menyerang Ukraine.
Namun, setakat ini Barat, Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) atau Amerika Syarikat (AS) serta sekutunya tidak mengambil tindakan balas ketenteraan melainkan mengenakan sekatan ekonomi terhadap Russia.
Tentera Russia pula hari ini meneruskan pertempuran itu selepas beberapa kejayaan strategik utama dicapai pada hari pertama pencerobohan semalam.
AS mengenakan pelbagai sekatan ke atas golongan elit dan bank di Russia tetapi menegaskan tentera AS tidak akan ke Eropah Timur untuk berperang di Ukraine.
NATO juga mengumumkan ia sudah mengaktifkan ‘rancangan pertahanan’ untuk negara bersekutu tetapi ketuanya, Jens Stoltenberg, berkata tidak ada rancangan untuk menghantar pasukan pakatan itu ke Ukraine.
Setakat ini, ratusan nyawa dilaporkan maut termasuk dalam kalangan anggota tentera dan orang awam manakala lebih 100,000 penduduk kehilangan tempat tinggal.
Tentera darat Russia yang mula bergerak ke Ukraine dari utara, selatan dan timur turut menyebabkan ramai rakyat Ukraine terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing susulan bunyi letupan bom yang kuat di merata tempat. – AFP
© New Straits Times Press (M) Bhd




