Tepis stigma graduan tak layak bergelar petani muda

Tepis stigma graduan tak layak bergelar petani muda

khairil.ashraf@hmetro.com.my

TIDAK ramai wanita yang sanggup menceburi bidang pertanian kerana terpaksa bersusah payah setiap hari dan berpanas terik di kebun.

Selain itu, ada juga stigma sesetengah pihak yang menyatakan wanita tidak sewajarnya menceburi bidang berkenaan terutama apabila seseorang itu graduan muda.

Namun, bagi usahawan yang juga petani muda, Noor Anis Amira Ibrahim, 30, dia tidak kisah dengan pandangan atau stigma sesetengah pihak berkait perkara itu.

Sebaliknya, ia menjadi pembakar semangat untuknya bekerja keras dalam bidang pertanian diceburi.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Seni Halus, Pengkhususan Catan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Seri Iskandar, Perak ini berkata, dia cuba sedaya upaya sehingga apa yang dilakukannya itu berjaya.

Menurutnya, setiap bidang yang diceburi juga mempunyai cabaran masing-masing, di samping berupaya memberikan pengalaman bermakna kepada seseorang individu.

Noor Anis Amira mengambil contoh, penanaman cendawan tiram dan penternakan arnab pedaging yang diusahakannya pada 2020, terpaksa dihentikan apabila pasaran tidak dapat berjalan seperti biasa akibat pandemik COVID-19.

“Situasi itu memberikan saya pengalaman berkenaan cabaran sebenar dalam menguruskan perniagaan, khususnya apabila berdepan keadaan tidak menentu dan faktor luar yang sukar dikawal.

“Walaupun terpaksa menghentikan kedua-dua projek berkenaan, pengalaman itu tidak mematahkan semangat saya untuk terus menceburi bidang pertanian.

“Sebaliknya, ia mendorong saya untuk terus mencari peluang, menimba ilmu dan meneroka bidang yang mempunyai potensi untuk dikembangkan kepada perniagaan lebih besar,” katanya yang tinggal di Sungai Petani, Kedah.

Disebabkan itu, dia kemudian menceburi bidang penanaman nanas MD2 pada awal tahun lalu kerana mempunyai pengalaman sebelum ini bersama arwah ibu dan ayahnya menanam di sekitar kawasan rumah mereka.

“Sebelum saya menceburi bidang penanaman nanas MD2 secara lebih serius, arwah mak dan ayah juga pernah menanam nanas MD2 di sekitar rumah, namun pada ketika itu hasilnya hanya untuk kegunaan sendiri, keluarga, saudara-mara dan jiran tetangga.

“Pengalaman itu menjadi antara titik awal yang memperkenalkan saya kepada tanaman nanas MD2. Daripada aktiviti berkebun bersama keluarga, timbul minat dalam diri saya untuk menceburi bidang pertanian dengan lebih serius dan melihat potensi tanaman ini untuk dikembangkan sebagai satu perniagaan.

“Saya amat menghargai pengalaman yang dilalui bersama mak dan ayah kerana mereka menjadi sebahagian daripada titik permulaan perjalanan saya dalam bidang ini.

“Setiap masa yang diluangkan bersama mereka memberikan kenangan dan pengalaman yang sangat bermakna, yang akan sentiasa saya bawa dalam kehidupan dan perjalanan keusahawanan saya,” katanya.

Katanya, daripada pengalaman berkebun bersama keluarga dan pendedahan awal terhadap tanaman nanas MD2, dia mula mendalami bidang penanaman nanas dengan lebih serius serta berusaha membina pengalaman dan pengetahuan dalam bidang itu.

“Saya melihat pertanian bukan sekadar aktiviti penanaman, tetapi sebagai satu bidang yang mempunyai potensi dalam sektor agromakanan dan keusahawanan,” katanya.

Katanya, penanaman nanas MD2 diusahakan olehnya juga dibuat di tanah milik keluarganya berkeluasan 0.472 ekar yang terletak di Kampung Telok Perah, Kuala Pegang, Baling, Kedah.

Noor Anis Amira berkata, sebelum ini tanah itu digunakan sebagai tanah bendang, namun ia telah lama dibiarkan dan tidak dimanfaatkan secara aktif.

Dia kemudian mengambil inisiatif untuk mengusahakan tanah berkenaan dengan penanaman nanas MD2, daripada membiarkannya terbiar tanpa sebarang aktiviti pertanian.

“Bagi saya, tanah dimiliki adalah satu aset yang mempunyai potensi untuk dimanfaatkan secara produktif. Oleh itu, saya berusaha mengubah tanah yang sebelum ini kurang digunakan menjadi kawasan penanaman yang dapat menyumbang kepada pembangunan perniagaan dalam sektor agromakanan.

“Pada masa sama, saya memberi tumpuan kepada pengurusan tanaman, penjagaan nanas dan pengembangan projek secara berperingkat. Saya percaya pengurusan tanah yang baik, perancangan teliti serta komitmen berterusan amat penting bagi memastikan projek penanaman ini dapat berkembang dengan mampan pada masa akan datang,” katanya.

Dia juga mempunyai sasaran untuk mengembangkan penanaman nanas MD2 ini secara berperingkat dan membina sebuah perniagaan yang mampan dalam sektor agromakanan.

“Saya bukan hanya mahu terbabit dalam aktiviti penanaman, tetapi juga ingin meneroka keseluruhan rantaian nilai nanas, termasuk pemasaran, pemprosesan dan pembangunan produk berasaskan nanas.

“Antara perancangan saya ialah menghasilkan produk minuman berasaskan nanas, membangunkan konsep kafe seperti Kopi Nanas serta dalam jangka panjang, mempunyai kemudahan pemprosesan atau kilang sendiri,” katanya.

Selain pasaran tempatan, dia juga mempunyai sasaran untuk membawa hasil dan produk berasaskan nanas ke pasaran antarabangsa.

“Saya ingin meneroka peluang eksport nanas MD2 ke luar negara. Pada masa sama, melihat potensi untuk mengeksport produk hiliran berasaskan nanas sekiranya memenuhi keperluan, standard keselamatan makanan dan kehendak pasaran negara tersebut,” katanya.

Noor Anis Amira berharap supaya projek penanaman nanas MD2 diusahakannya dapat berkembang dengan baik dan menjadi satu perniagaan yang memberi manfaat kepadanya, keluarga dan masyarakat.

“Saya juga berharap lebih ramai golongan muda, khususnya wanita, melihat pertanian sebagai satu bidang yang mempunyai peluang untuk diterokai. Pertanian memerlukan ilmu, kesabaran, usaha dan pengurusan yang baik.

“Saya ingin terus belajar, meningkatkan kemahiran dan membina perniagaan yang mampan. Impian saya adalah untuk menjadikan bidang pertanian bukan sekadar satu aktiviti penanaman, tetapi satu platform untuk membina masa depan dan menyumbang kepada sektor agromakanan negara,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top