Madrid: Semua 69 mangsa nahas kereta api kelajuan tinggi yang meragut nyawa di Urda, tengah Sepanyol minggu lepas sudah dikenal pasti, manakala 29 mangsa yang cedera masih dirawat di hospital, menurut pihak berkuasa pada Isnin, lapor Xinhua.
Pusat Data Bersepadu (CID) Sepanyol mengesahkan jumlah kematian keseluruhan kekal 69 orang, merangkumi 54 warga Sepanyol dan 15 warga asing. Semua mangsa adalah individu dewasa yang terdiri daripada 40 lelaki dan 29 wanita.
Mangsa warga asing termasuk empat warga Amerika Syarikat, dua Australia, dua Jepun, serta masing-masing seorang dari Argentina, Kanada, Republik Czech, Perancis, Mexico, Portugal dan Tunisia.
Institut Perubatan Forensik Toledo dan Ciudad Real telah menyelesaikan proses berkenaan.
Daripada 69 mangsa, 56 telah dikenal pasti menerusi analisis cap jari oleh Perkhidmatan Kriminalistik Pengawal Awam (Civil Guard), manakala 13 lagi dikenal pasti melalui ujian DNA oleh Institut Toksikologi Kebangsaan.
Keluarga mangsa sudah dimaklumkan mengenai keputusan itu itu, manakala pejabat konsular berkaitan turut dimaklumkan bagi kes yang membabitkan warga asing.
Sementara itu, kerajaan wilayah Castilla-La Mancha melaporkan bahawa 29 mangsa yang cedera dalam nahas itu masih dirawat di empat hospital, termasuk sembilan di unit rawatan rapi (ICU) dan 20 di wad biasa.
Daripada 110 pesakit yang dimasukkan ke enam hospital pada awalnya, 81 orang telah dibenarkan keluar, menurut pihak berkuasa kesihatan wilayah. Sembilan pesakit telah dipindahkan ke hospital di Madrid, termasuk seorang pada Isnin, manakala seorang lagi dipindahkan ke Andalusia.
Operasi pemulihan di lokasi kejadian telah menunjukkan perkembangan positif.
Semua gerabak daripada kedua-dua kereta api yang terbabit dalam rempuhan itu, yang dikendalikan oleh Iryo dan pengendali kereta api kebangsaan Sepanyol, Renfe, kini telah dialihkan dari landasan, lapor agensi berita Sepanyol EFE yang memetik sumber Pengawal Awam.
Gerabak kereta api Renfe AVE dialihkan semalaman dan dipindahkan ke kawasan selamat, manakala dua gerabak terakhir kereta api Iryo dibersihkan dari laluan kereta api kelajuan tinggi Madrid-Andalusia pada petang Isnin.
Pengawal Awam terus menjalankan pencarian sisa mayat di lokasi kejadian dengan menggerakkan sekitar 50 anggota di kawasan berkenaan, menurut EFE.
© New Straits Times Press (M) Bhd




