KUALA TERENGGANU – Penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 diharap dapat tetap diteruskan walaupun berdepan kekangan ekonomi semasa, dengan cadangan agar ia dilaksanakan dalam skala yang lebih kecil.
Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, pihaknya menghormati sebarang keputusan untuk menangguhkan temasya itu, namun berpandangan alternatif lain wajar dipertimbangkan.
Menurutnya, beliau menjunjung kasih pandangan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung cadangan penangguhan penganjuran susulan faktor ekonomi dan krisis di Asia Barat
”Perkara ini saya yakin pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan meneliti dengan lebih mendalam. Isu ini melibatkan tuan rumah, maka kita tidak wajar mencampuri urusan antara pihak kerajaan Selangor dan KBS.
”Namun dari sudut kontinjen Terengganu, kita sememangnya berharap penganjuran ini diteruskan. Mungkin Majlis Sukan Negara (MSN) boleh menggunakan format penganjuran seperti di Kuala Lumpur sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Ke-15 di Wisma Darul Iman, di sini pada Selasa.
Mengulas lanjut, Hishamuddin berkata, penganjuran Sukma perlu diteruskan memandangkan ia melibatkan perbelanjaan tinggi serta pengorbanan besar daripada atlet pelbagai latar belakang.
”Ada atlet yang menangguhkan pengajian dan ada yang menangguhkan kerja demi persediaan ini. Sekiranya ditangguhkan lagi, ia akan memberi kesan besar kepada semua atlet.
”Oleh itu, kita menghormati faktor ekonomi semasa, namun mungkin boleh dipertimbangkan agar penganjuran ini diteruskan dalam skala lebih kecil sebagaimana pandangan Menteri KBS sebelum ini,” jelasnya.
Menurutnya lagi, aspek penjimatan lain boleh diperhalusi bagi memastikan penganjuran dilaksanakan secara berhemah tanpa menjejaskan objektif pembangunan sukan negara.
Dalam pada itu, beliau menegaskan setakat ini tiada sebarang perubahan dari segi persiapan kontinjen Terengganu memandangkan semua pasukan telah bersiap sedia.
”Ketika ini pasukan berada dalam fasa senarai panjang (long list) sebelum meneliti senarai pendek (short list) atlet yang akan bertanding. Semua atlet dalam senarai panjang telah terlibat dalam latihan berterusan di peringkat negeri,” katanya.
Sebelum ini, Sultan Sharafuddin Idris Shah mencadangkan penganjuran SUKMA di Selangor ditangguhkan susulan kos tinggi serta mengambil kira keadaan ekonomi semasa dan krisis di Asia Barat.
Baginda bertitah, penangguhan itu juga wajar dibuat sehingga projek Stadium Shah Alam siap sepenuhnya bagi memastikan penganjuran berjalan lancar.



