“Terima kasih atas doa, saya belum berniqab penuh..” – Aprena Manrose

Pelakon Aprena Manrose tampil menjelaskan berhubung penampilan mengenakan niqab ketika menghadiri sebuah majlis ilmu baru-baru ini.

Menurut laporan Kosmo! Online, pelakon berusia 29 tahun berkata, dia belum sepenuhnya ke arah penampilan tersebut namun masih dalam proses untuk menjadi muslimah sejati.

“Terima kasih atas doa yang diberi tetapi saya masih lagi belum berniqab sepenuhnya. Berpakaian begitu kerana belajar ilmu agama.
“Masih belajar dan hanya cuba-cuba sahaja, teruskan doa yang baik-baik,” kata anak kepada bekas penyanyi dangdut, Iwan Syahman itu.

Aprena berkata, penampilan digayakan telah mencetuskan salah faham tetapi menghargai maklum balas orang ramai yang terus menitipkan doa buat dirinya.

“Foto tersebut diambil ketika saya ke sebuah majlis agama. Mungkin ada yang salah faham tetapi doakanlah saya berubah ke arah itu.
“Bagusnya ialah ramai mendoakan dan ada menyuarakan hasrat untuk mengikuti kelas agama yang saya pergi.
“Sangat terharu dengan respons ramai dan berharap mereka terus doakan saya kekal istiqamah melakukan benda baik insya-Allah,” ujarnya.

Terdahulu, pelakon drama Leftenan Zana itu memuat naik satu video di laman Instagram memaparkan dirinya memakai niqab dalam persalinan berwarna hitam.

Untuk rekod, Aprena atau nama penuhnya Wan Syahera Putri Aprena Wan Syahman mendirikan rumah tangga dengan Mohd. Afiq Hazman pada 12 November 2016.

Sumber: Kosmo! Online (Nur Emira Saizali) , Instagram Aprena Manrose