am@hmetro.com.my
Sepang: Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir menzahirkan penghargaan atas sokongan diberikan kepada baginda susulan kemelut politik yang berlaku di negeri berkenaan.
Baginda bertitah, sokongan kuat yang diterima menjadi dorongan untuk baginda kembali ke Negeri Sembilan bagi menyelesaikan masalah itu.
“Terima kasih atas sokongan yang kuat. Saya akan balik istana, mana lagi saya nak balik.
“Saya balik nak selesaikan masalah ini, insya-Allah terima kasih semua,” titah baginda ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, malam ini.
Terdahulu, baginda bersama Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud berangkat tiba di KLIA Terminal 1 pada jam 10.40 malam selepas pulang dari luar negara.
Keberangkatan tiba baginda disambut dengan laungan ‘Daulat Tuanku’ oleh kira-kira 200 penyokong baginda yang berhimpun di hadapan bilik kenamaan di KLIA sejak jam 8 malam tadi.
Tuanku Muhriz juga berkenan beramah mesra serta bersalaman dengan penyokong baginda.
Semalam, exco kerajaan negeri menyatakan proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz adalah sah dan mengiktiraf Tuanku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar sebagai Yang Dipertuan Besar baharu.
Menurut kenyataan barisan exco, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat yang dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim, pada Isnin lalu.
Namun, Dewan Keadilan dan Undang (DKU) sebelum ini menegaskan Tuanku Muhriz kekal sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, mendakwa tiada proses sah yang menyebabkan baginda terhenti memegang jawatan itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd
