Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan bersidang esok, bincang permohonan pengampunan Najib

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Permohonan pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, kembali dalam agenda mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan yang dijadualkan bersidang semula esok, hanya seminggu selepas perkara itu ditangguhkan.

Berdasarkan laporan The Straits Times (ST), mesyuarat berkenaan dijadualkan esok dan hanya mempunyai satu perkara dalam agenda iaitu permohonan pengampunan Najib.

Sumber rasmi menyifatkan, mesyuarat berkenaan sebagai sesuatu yang amat luar biasa kerana penjadualan mesyuarat sedemikian lazimnya adalah prerogatif cabang eksekutif.

“Ini adalah langkah yang sangat jarang berlaku. Secara tiba-tiba, Lembaga Pengampunan akan mengadakan satu lagi mesyuarat dengan hanya satu perkara dalam agenda.

“Saya fikir mungkin ada campur tangan,” kata sumber itu kepada ST semalam, dengan syarat tidak dinamakan kerana sensitiviti perkara berkenaan.

Pada 11 September lalu, media melaporkan, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan bermesyuarat untuk mempertimbangkan, antara lain permohonan Najib bagi mendapatkan pengampunan terhadap sabitan berkaitan kes seleweng dana SRC International Sdn Bhd.

Bagaimanapun, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, menangguhkan permohonan pengampunan Najib ke mesyuarat akan datang.

Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri (JPM), memaklumkan perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan Ke-63 bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Pada Julai 2020, Najib yang disabitkan atas kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International didenda RM210 juta dan dijatuhi hukuman penjara 12 tahun yang kemudian dikekalkan Mahkamah Persekutuan pada Ogos 2022.

Namun, pada 2 Februari 2024, Urusetia Lembaga Pengampunan mengumumkan Najib diberikan pengurangan 50 peratus bagi hukuman penjara, daripada 12 tahun ke enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top