syafil.syazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelakon, Sophia Albarakbah mengucapkan terima kasih kepada netizen yang prihatin akan penampilannya yang tular baru-baru ini.
Sophia berkata, dia akan lebih berhati-hati di masa akan datang dalam pemilihan pakaian untuk mengelakkan terpalit kontroversi.
“Sebenarnya saya tidak tahu apa-apa pasal isu ini sehinggalah seseorang memberitahu saya. Saya hanya menggayakan baju yang ditaja.
“Terima kasih kepada semua yang prihatin mengenai penampilan saya. Doakan yang terbaik, saya akan lebih berhati-hati dalam memilih pakaian,” katanya ketika ditemui di majlis pelancaran butik Amber yang diadakan di sebuah hotel, di sini, hari ini.
Terdahulu, menerusi hantaran MUA di Instagram, Sophia dilihat menggayakan busana hitam yang menampakkan lurah payu daranya ketika menghadiri satu acara fesyen baru-baru ini.
Penampilannya yang dikatakan terlalu seksi itu mencetuskan pelbagai reaksi netizen.
Sophia berkata, dia juga tidak boleh menutup mulut netizen yang sentiasa berbicara mengenai dirinya.
“Kita tidak boleh elak daripada kecaman orang. Ia bukan sesuatu yang baru, malah nanti akan ada lagi orang bercakap mengenai saya.
“Saya tahu sebagai ‘public figure’, kita perlu berdepan dengan kecaman-kecaman ini. Saya tidak rasa saya sengaja cetuskan kontroversi. Saya hidup macam biasa saja tetapi orang yang memilih untuk bercakap mengenai saya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd