London: AFC Bournemouth mengesahkan kehadiran pertahanan Portugal, António Silva dari SL Benfica dalam urus niaga yang dilaporkan bernilai £25 juta (RM143 juta), hari ini.
Silva menjadi pemain kedua dibawa masuk Bournemouth minggu ini selepas kelab itu terlebih dahulu mendapatkan penyerang, Álvaro Rodríguez daripada Elche CF.
Kehadiran pertahanan berusia 22 tahun itu dijangka mengisi kekosongan yang ditinggalkan Marcos Senesi selepas menyertai Tottenham Hotspur secara perpindahan percuma.
Sepanjang bersama Benfica, Silva membuat 235 penampilan bersama skuad utama dan membantu kelab itu merangkul enam kejuaraan utama.
Pemain pertahanan itu juga sudah mengumpul 20 penampilan bersama skuad kebangsaan Portugal, termasuk beraksi pada Piala Dunia 2022 dan Euro 2024.
Bagaimanapun, Silva tidak disenaraikan dalam skuad Portugal bagi kempen Piala Dunia 2026 di Amerika Utara.
“Saya sangat gembira berada di sini. Ia satu penghormatan dapat bermain untuk Bournemouth dan beraksi dalam Liga Perdana Inggeris.
“Saya tidak sabar memulakan musim baharu bersama rakan sepasukan. Mentaliti saya sentiasa mahu menang.
“Saya akan memberikan yang terbaik dan beraksi demi penyokong. Kelab ini memiliki segala yang diperlukan untuk membantu kami memberikan prestasi terbaik di atas padang,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




