am@hmetro.com.my
Bachok: Anak penjual kuih bertuah apabila menerima komputer riba daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini, kerana mendapat keputusan cemerlang 8A, dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu.
Muhammad Syimir Amar Almuktar, 18, teruja apabila menerima peralatan elektronik itu yang disampaikan bekas Menteri Pendidikan, Prof Dr Maszlee Malik mewakili Perdana Menteri dalam program Ziarah Kasih MADANI.
Katanya, dia akan melanjutkan pelajaran dalam program Asasi Teknologi Kejuruteraan di Politeknik Arau, Perlis pada 9 Julai ini.
“Saya ucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri atas sumbangan komputer riba ini.
“Tak terbayang pun benda macam ini (dapat percuma komputer riba) tiba-tiba dapat… Alhamdulillah, terima kasih kerajaan MADANI,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pengkalan Chengal, Perupok, di sini.
Hadir sama, wakil Setiausaha Politik Perdana Menteri, Mohd Zainuddin Ghazali.
Muhammad Syimir adalah anak ketiga daripada lima beradik disara ibunya yang juga ibu tunggal, Hayuzi Mat Zin, 46 dengan pendapatan membuat kuih-muih dengan pendapatan tidak menentu.
Selain Syimir, empat lagi adik beradiknya masih belajar dan bersekolah iaitu Muhammad Al Syarifullah, 20 sedang belajar di Politeknik Kulim, Kedah; Muhammad al Shaifullah, 19 di Tingkatan Enam Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bachok bersama Nur Aliya adriana, 14 dan adik bongsunya, Muhammad Syimir Adam, 12 bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Bachok.
Sementara itu, Dr Maszlee berkata, Perdana Menteri dan kerajaan yang ada sekarang ini tidak mahu ada sesiapa pun keciciran dan ketinggalan hanya kerana keadaan ekonomi mereka.
“Kita ingin mereka semua berjaya, walau di mana pun mereka, walau apa keadaan ekonomi mereka, yang mana dapat kita bantu, kita bantu.
“Kita minta pemimpin setempat dan sebagainya jikalau mereka mempunyai maklumat anak seperti Syimir sampaikan kepada pimpinan masyarakat masing-masing.
“Insya-Allah kerajaan dan PM akan sentiasa prihatin untuk bantu pastikan semua orang mendapat peluang yang baik untuk berjaya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




