georgie@hmetro.com.my
SUDAH memasuki musim ketiga, siri The White Lotus terus meraih peminat dengan jalan cerita lebih menarik. Antologi menyentuh mengenai sindiran sosial dalam bentuk komedi itu cukup menghiburkan.
Memilih Thailand sebagai lokasi penceritaan musim baharu itu, pelbagai karakter dengan aneka kerenah menjadi fokus utama. Masing-masing membawa pesona khas untuk hidupkan lagi siri lapan episod itu.
Istimewanya, Natasha Rothwell menjadi satu-satunya dapat melakonkan kembali wataknya sebagai Belinda. Dia mengakui terkesan dengan karakternya yang wujud dalam kehidupan sebenar itu.
“Seronok apabila mengimbas kembali musim pertama dan kedua The White Lotus. Saya sukakan cerita begini yang menggambarkan kisah dan karakter orang sebenar seperti kita lihat di sekeliling.
“Ramai yang menjadi peminatnya kerana rancangan ini, lakonan serta kisah karakternya penuh misteri. Dan jalan cerita begini kian begitu popular pun sepanjang 25 tahun lalu.
“Ketika zaman kanak-kanak dan remaja, saya pun sangat sukakan rancangan begini. Jadi, saya sangat teruja menjadi sebahagian daripadanya,” katanya dalam temu bual maya baru-baru ini.
Bercerita mengenai watak Belinda, dia gembira apabila ia mengalami perubahan hidup yang positif. Pemergian Belinda ke Thailand banyak jadikannya bermuhasabah diri.
“Dia (Belinda) berdepan lima fasa kesedihan emosi, namun akhirnya menerima bahawa dia perlu mengemudi masa depannya sendiri. Dia tidak mahu salahkan sesiapa atas apa yang berlaku pada dirinya.
“Dia perlu sahut pengembaraan itu, cuba perkara baharu dan benar-benar ambil alih mengenai hala tuju hidupnya,” katanya.
Parker Posey yang menghidupkan watak Victoria Ratliff pula mengakui pengalaman sepanjang penggambaran siri itu cukup manis untuk dikenang. Keseluruhan produksinya sangat menyenangkan.
Khususnya bergaul dengan barisan pelakon lain, ikatan antara mereka paling dia akan ingat.
“Silaturahim yang terjalin sangat menyenangkan. Seronok apabila melakukan babak beramai-ramai. Ketika nikmati sarapan, kami dapat melepak bersama-sama di ruangan menunggu,” katanya.
Bercerita mengenai wataknya, Posey rasai cabarannya kerana membawakan karakter seseorang yang tidak boleh dipercayai.
“Suami watak saya iaitu Timothy Ratliff dilanda masalah di firma tempatnya bekerja. Walaupun kaya-raya, mereka berdepan cabaran boleh kehilangan banyak perkara sekelip mata.
“Victoria pula tidak stabil dan seronok apabila dapat menghidupkan karakter yang kita tidak percayai. Kita tidak pasti apa yang dia mampu lakukan dan kemampuan untuk tangani sesuatu hal,” katanya.
Musim ketiga siri itu turut membariskan pelakon hebat lain termasuk Leslie Bibb, Carrie Coon, Walton Goggins, Sarah Catherine Hook, Jason Isaacs, Michelle Monaghan, Sam Nivola, Patrick Schwarzenegger dan Aimee Lou Wood.
Tidak ketinggalan, penampilan beberapa bintang Thailand ternama iaitu Lalisa Manobal, Lek Patravadi dan Tayme Thapthimthong sebagai watak utama.
Musim pertama The White Lotus yang mula ditayangkan pada Julai 2021 mengambil lokasi di Hawaii, Amerika Syarikat. Siri itu pantas meraih perhatian ramai dan pencapaian membanggakan.
Antaranya mendapat 20 pencalonan di Anugerah Emmy untuk 13 kategori dan menang 10 trofi. Kemenangan itu termasuk kategori Siri Antologi Terbaik dan Siri Terhad Paling Menyerlah.
Musim ketiganya dicipta, ditulis dan diarahkan Mike White, manakala David Bernad dan Mark Kamine bertindak sebagai penerbit eksekutif.
The White Lotus 3 bersiaran sebanyak lapan episod sejak 17 Februari lalu, setiap Isnin menerusi saluran Max dan HBO (Astro 411/Unifi TV 401).
© New Straits Times Press (M) Bhd




