hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Walaupun pengalaman antara hidup dan mati apabila tersesat dalam hutan selama 19 hari ketika mengikuti ekspedisi ke puncak Gunung Tahan, Pahang sudah 16 tahun berlalu, kenangan itu masih kekal diingati wanita ini.
Malah, ia terus menggamit kenangan Nur Maisarah Sameaun, 37, setiap kali media melaporkan kehilangan individu di hutan yang membuatnya teringat survival di hutan seorang diri tanpa makanan dan hanya bergantung dengan air sungai.
Berkongsi kisahnya, Nur Maisarah berkata, sehingga kini dia mensyukuri nikmat dan peluang diberikan Allah SWT untuknya meneruskan kehidupan biarpun menempuh cabaran disifatkan detik paling menakutkan sepanjang 19 hari kehilangannya.
“Selepas kes saya ada seorang lelaki yang dilaporkan hilang di Gunung Yong Yap, namun masih belum ditemukan sehingga kini dan beberapa kes lain seperti kehilangan Mohammad Asyraf Hassan (berusia 29 tahun) atau Acap lima tahun lalu serta terbaru seorang anggota tentera yang dilaporkan hilang di hutan di Sarawak.
“Semua itu mengamit memori saya meskipun kisahnya tidak sama tetapi sebagai orang yang pernah melalui situasi itu ia memang memberi kesan, membuat saya kembali mengenang cerita lama yang menjadi kenangan tidak akan dilupakan.
“Ia sangat mendebarkan terutama apabila waktu malam tetapi saya bersyukur tidak pernah terserempak haiwan berbisa atau buas serta kejadian mistik sepanjang tempoh itu,” katanya kepada Harian Metro ketika dihubungi, baru-baru ini.
Mengimbas cerita, ibu kepada tiga anak itu berkata, punca kehilangannya adalah kerana dia mahu berjalan di lokasi yang dilihat indah ketika sebelum tiba di puncak, namun tersalah arah sebelum gagal menemui jalan ke lokasi rakan lain.
Menurutnya, ketika itu dia masih menuntut di Universiti Teknologi Mara Malaysia (UiTM) Arau, Perlis dan aktiviti itu disertai 36 penuntut bersama dua guru pengiring serta tiga pemandu arah.
“Ketika itu kami sudah mahu pulang dan bersiap untuk turun ke bawah dan saya ada masa terluang sedikit selepas selesai membantu enam rakan mengemas barang untuk turun terlebih dulu, manakala rakan lain buat urusan masing-masing.
“Saya fikir lokasi itu tidak jauh dan orang di puncak masih boleh melihat keadaan di bawah selain ketika itu saya fikir khemah boleh menjadi penanda arah, jadi tidaklah bimbang sangat, cuma apabila saya tersalah jalan dan melihat sudah tiada khemah kerana sudah dikemas, buat saya panik.
“Saya pula terus berjalan hingga terus tersalah jalan dan masuk ke kawasan hutan lebih tebal. Ketika itu memang panik tetapi saya cuba kawal diri dan sentiasa berfikiran positif yang saya akan ditemui dan diselamatkan,” katanya.
Katanya, ketika itu dia membawa beg sandang milik rakan dan hanya ada makanan segera dan sepeket coklat ‘choki-choki’ namun memilih untuk tidak memakannya kerana menjadikan ia sebagai bekalan ketika darurat, manakala coklat itu disimpan di poket seluar dipakainya.
“Saya jerit panggil nama kawan tetapi tiada balasan dan saya ambil keputusan tinggal barang dalam beg seperti tuala bagi dijadikan petanda kepada orang yang mencari. Tetapi hari beg itu hilang buatkan saya hanya makan choki-choki selama tiga hari selebihnya bergantung dengan air sungai saja.
“Saya masih positif selama seminggu dan tetap fikir orang akan menemui saya tidak lama lagi dan setiap kali lapar saya akan membayangkan makanan kegemaran ketika minum air sungai tetapi masuk minggu kedua semangat saya sudah mula down, malah saya hampir lemas selepas tergelincir.
“Nasib baik saya dapat berpijak pada batu dan selepas tenang serta imbangkan badan saya berpaut pada tebing namun cermin mata sudah hilang ketika itu.
“Saya berehat selama lima hari dan selepas itu mula berjalan lagi sebelum akhirnya berjaya menemui trek jalan yang membawa saya ke kem yang ada pendaki lain,” katanya yang menetap di Pasir Udang, Johor.
Nur Maisarah berkata, dia pernah terfikir untuk Allah menarik nyawanya terutama ketika hampir lemas, namun dia menyedari semua yang berlaku itu membuatkan dirinya berfikir peluang diberikan Allah untuknya terus bertahan adalah supaya tidak terus berputus asa.
“Semua yang berlaku bukti kekuasaan Allah dan saya terfikir adakah saya masuk ke alam ghaib tetapi saya tidak pula nampak sesiapa dan tidak mendengar suara sesiapa. Setiap hari saya akan azan ketika mula berjalan, baca surah yang diingati dan berdoa serta solat mengikut waktu,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




