TFC benam Sri Pahang

TFC benam Sri Pahang

sukanteam@nstp.com.my

KUALA TERENGGANU: Terengganu FC (TFC) layak dilabel gergasi Pantai Timur selepas menumpaskan pasukan jiran, Sri Pahang FC 2-0 pada aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, sebentar tadi.

Kemenangan itu membolehkan skuad Penyu kekal menghuni di kedudukan kedua Liga Super dengan mengumpul 37 mata dengan perbezaan lima mata berbanding pendahulu, Johor Darul Ta’zim (JDT) yang tidak beraksi malam ini.

Pada perlawanan itu, skuad Tok Gajah terlebih dahulu menguji kubu tuan rumah menerusi rembatan leret pemain import tinggi lampai kelahiran Sudan, Kenny Athiu pada minit kedua yang mudah dibaca penjaga gol, Mohd Suhaimi Husin.

Skuad Penyu yang mendapat percubaan pertama tidak melepaskan peluang itu apabila rembatan David Da Silva hasil hantaran Faiz Nasir pada minit ke-12 berjaya membolosi gawang pelawat walaupun cuba ditampan penjaga gol, Muhammad Zarif Irfan Hashimuddin.

Bagaimanapun seminit berselang, penyerang kelahiran Brazil itu terpaksa dikeluarkan berikutan kecederaan dan digantikan dengan pemain muda meningkat naik, Mohamad Hakimi Abdullah.

Skuad kendalian Dollah Salleh hampir berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-14 menerusi tandukan penyerang Sudan berketinggian 2.01 meter itu, namun terkena palang dan tindakan susulan Abdul Malik Mat Ariff juga gagal.

Pada minit ke-19, pemain kelahiran Myanmar, Aung Kaung Mann yang tidak dikawal melakukan rembatan deras dari luar kotak penalti yang sedikit tersasar di sebelah kiri gawang TFC.

Ketika skuad Tok Gajah kerap mengasak mencari gol penyamaan, Hakimi yang mendapat bola hasil kesilapan pertahanan pelawat melakukan hantaran ke dalam kotak penalti yang singgah di kaki Faiz sebelum pemain bertubuh kecil itu melambungkan bola kepada Faisal Halim untuk pemain itu mencetak nama sebagai penjaring kedua TFC pada minit ke-23.

Bekas pemain Sri Pahang musim lalu itu hampir menambah gol ketiga pasukannya selepas mendapat hantaran Makan Konate, namun penjaga gol lebih pantas mengeluarkan bola dari kawasan bahaya.

Bersambung babak kedua, pelawat hampir berjaya merapatkan kedudukan melalui tandukan Muslim Ahmad pada minit ke-54 hasil sepakan percuma Kaung Mann, tapi penjaga gol lebih pantas menepis percubaan bekas pemain Terengganu itu.

Disiplin bertahan dan menyerang yang diperagakan pemain skuad kendalian Nafuzi Zain hampir berjaya menambah jaringan ketiga menerusi Habib Haroon pada minit ke-61 yang sedikit sahaja tersasar di sebelah kanan pintu gol dan keputusan 2-0 itu kekal hingga tamat perlawanan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top