TFC tidak akan pecat Nafuzi

TFC tidak akan pecat Nafuzi

TERENGGANU FC (TFC) tidak bercadang melakukan perubahan atau rombakan terhadap barisan kejurulatihan buat masa ini, kata Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) Hishamuddin Abdul Karim.

Beliau berkata tindakan memecat atau merehatkan ketua jurulatih, Mohd Nafuzi Zain bukan penyelesaian terbaik bagi mengatasi isu prestasi pasukan yang hambar pada permulaan liga musim ini.

Hishamuddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Terengganu berkata pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan pengurusan kelab untuk meminta barisan kejurulatihan mengemukakan pelan tindakan bagi menghadapi tiga perlawanan akan datang.

“Kegagalan TFC mencuri mata dalam beberapa perlawanan memang membuatkan kita terkilan. Oleh itu, kita dah buat penilaian dan perbincangan dengan pihak pengurusan kelab untuk kemukakan pelan tindakan bagi tiga perlawanan ke hadapan.

“Kita juga akan panggil ketua jurulatih untuk bersemuka dan membincangkan isu berkaitan pada minggu hadapan. Pihak kelab akan mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai hala tuju pasukan dalam masa terdekat,” katanya.

Hishamuddin berkata tindakan memecat barisan kejurulatihan juga dikhuatiri akan memburukkan lagi krisis kewangan yang dihadapi kelab ketika ini.

Beliau berkata walaupun Nafuzi masih diberi peluang, barisan kejurulatihan perlu menunjukkan usaha dan perubahan dengan segera bagi mengembalikan semula sokongan penyokong kepada kelab.

Selain masalah prestasi, beliau berkata pihaknya juga sedang berusaha menyelesaikan isu sekatan perpindahan pemain oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) sebelum jendela perpindahan kedua dibuka pada Januari tahun depan.

“Kita menggalas tanggungjawab besar untuk selesaikan semua bebanan. Sebab itu kita terpaksa potong perbelanjaan kelab yang sedikit sebanyak menjejaskan prestasi pasukan.

“Pada masa sama, ramai minta kita berbelanja mewah sedangkan ada masalah yang perlu kita selesaikan. Isu-isu seperti ini perlu kita tangani. Sebab itu pada awalnya kita ambil pilihan untuk berundur bagi menyelesaikan isu, tetapi oleh kerana permintaan masih tinggi untuk kita kekal dalam Liga Super, kita teruskan dan cuba buat yang terbaik,” katanya.

Reputasi pasukan gergasi Pantai Timur itu dilihat semakin merudum apabila hanya menang satu daripada enam perlawanan Liga Super, selain gagal mara ke peringkat suku akhir Piala FA musim ini.

Prestasi hambar itu menyebabkan TFC jatuh ke tangga kesembilan liga apabila sekadar mengutip lima mata daripada enam perlawanan. – Bernama

Scroll to Top