TFC tidak boleh laku kesilapan kecil – Diakite

KUALA LUMPUR – Pertahanan Terengganu FC, Pape Diakite enggan kesilapan sama menghukum pasukan apabila menentang Sabah FC, 1 Oktober depan yang menjadi aksi Liga Super terakhir mereka di laman sendiri.

Jelasnya, kali terakhir mereka tewas di tangan Sabah pada Julai lalu adalah berpunca daripada kesilapan-kesilapan kecil yang tidak sepatutnya berlaku dan dengan prestasi anak buah Datuk Ong Kim Swee ketika ini tidak boleh dipandang mudah.

Bahkan, Terengganu perlu terus mengutip mata dalam baki empat aksi bagi memastikan mereka mampu mendaki kedudukan liga sekurang-kurangnya tiga terbaik.

Apatah lagi, pastinya skuad kendalian Nafuzi Zain ini enggan mengecewakan penyokong apabila beraksi di laman sendiri yang terakhir untuk mereka bagi Liga Super, musim ini.

“Ini tahun pertama saya di Terengganu dan apa yang saya boleh katakan pengalaman bersama penyokong di sini sangat bagus.

“Cuma saya harap penyokong akan sentiasa di belakang kami walaupun menang, kalah, atau seri sekalipun dan yang penting, jangan lupa datang untuk aksi terakhir di laman sendiri nanti.

“Cuma kita tahu Sabah merupakan pasukan yang begitu konsisten dan ini tidak akan mudah untuk Terenganu.

“Kita kena waspada dengan kesilapan-kesilapan kecil yang boleh menghukum kita dan tidak boleh tewas sekali lagi”, jelasnya.

Untuk pemain berusia 30 tahun ini, mereka telah melupakan kekecewaan tewas di tangan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam final Piala FA yang lalu sambil menyifatkan pasukan kini lebih bersedia untuk menghadapi baki perlawanan dan juga aksi di pentas TM Piala Malaysia.

“Selepas kita kecewa dalam aksi final yang lalu, banyak yang kita belajar daripada aa yang berlaku.

“Dan sekarang adalah untuk pasukan terus ke hadapan fokus kepada liga dan kami bersedia untuk menamatkan liga di kedudukan yang terbaik.

“Saya harap penyokong juga dapat beri sokongan yang sama kerana kita tahu liga juga amat penting untuk pasukan”, katanya. – MalaysiaGazette