Bangkok: Bekas perdana menteri Thailand yang dipenjara, Thaksin Shinawatra, dipindah ke unit perubatan penjara Klong Prem hari ini.
Seorang pegawai jabatan pemulihan memberitahu AFP, langkah ini diambil kerana usianya dan masalah kesihatan kronik.
Mahkamah Agung Thailand minggu lalu mengarahkan Thaksin, 76, menjalani hukuman penjara satu tahun. Mahkamah memutuskan, beliau tidak sepatutnya menjalani hukuman penjara 2023 di sebuah bilik hospital mewah dan bukan dalam sel.
Jutawan telekomunikasi itu adalah individu terkaya Thailand dan seorang ahli politik yang paling menimbulkan perpecahan.
Namun, pergerakan beliau kini semakin lemah. Anak perempuannya, Paetongtarn Shinawatra, bulan lalu dipecat jawatan perdana menteri melalui perintah mahkamah. Kini, Thaksin berada di sebalik jeriji besi di penjara Klong Prem di Bangkok.
Seorang pegawai kanan jabatan pemulihan, yang tidak mahu namanya didedahkan, menyatakan Thaksin “telah berpindah untuk tinggal di unit perubatan kerana usianya dan penyakit kronik yang dihidapinya”.
Pegawai itu tidak menyatakan sama ada Thaksin menerima rawatan atau dipindah ke bahagian itu sebagai langkah berjaga-jaga.
Bekas perdana menteri Paetongtarn, bersama ibu dan kakak, antara kumpulan pertama melawat Thaksin pada Isnin. Kunjungan ini berlaku sesudah dia selesai tempoh kuarantin wajib.
Paetongtarn memberitahu pemberita dan sekumpulan penyokong Thaksin di luar penjara, rambut bapanya dicukur mematuhi peraturan untuk banduan. Lawatan itu berlangsung selama 30 minit.
“Kesihatan bapa saya baik. Beliau ada masalah tekanan darah, tetapi ia normal untuk sesiapa sahaja yang tinggal dalam penjara,” katanya.
Thaksin dipilih perdana menteri pada 2001 dan 2005. Beliau membawa diri ke buangan selepas penggal kedua dipendekkan oleh rampasan kuasa tentera.
Selepas kembali pada Ogos 2023, beliau dijatuhi hukuman lapan tahun kerana rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
Namun, beliau tidak pernah bermalam dalam sel. Thaksin dipindahkan ke bilik peribadi di hospital. Hukuman beliau dikurangkan kepada satu tahun dengan pengampunan diraja. Thaksin kemudian dibebaskan sebagai sebahagian daripada skim pelepasan awal untuk banduan warga emas.
Peguamnya, Winyat Chatmontree berkata, ia “bukan masa” untuk beliau mengemukakan permohonan agar Thaksin menjalani hukuman di luar penjara.
“Mestilah ada tempoh di penjara, menurut peraturan, sebelum ia boleh diambil kira,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata Thaksin tidak meminta layanan istimewa, termasuk pengaturan keselamatan dan “tidak mempunyai bilik khas” di penjara.
© New Straits Times Press (M) Bhd




